Masak-masak: Oreo cheesecake tanpa bakar oven | NaSa
Assalamualaikum


Sebuah kisah yang bermula dari Ramadan, sampai dah habis Aidilfitri, dan kita kini mengakhiri Zulkaedah, tapi masih juga tidak tertulis hehe

Masa hujung bulan puasa haritu, aku ada pau kaklong beli bahan-bahan untuk buat cheesecake sebab pasar raya yang kami pergi tu ada promosi diskaun untuk cream cheese Tatura dan whipping cream. Jadi aku sebat dua-dua la sebab dah lama tak makan cheesecake.

Tapi sebab kita tiba-tiba je raya mendadak kan, takdan aih aku nak tumbuk-tumbuk biskut oreo tu. Maka tersadai begitu saja bahan-bahan cheesecake tu dalam peti dan dalam bilik aku. 1 minggu kemudian baru timbul kerajinan nak cari resepi dan buat keknya 😂


NO BAKE OREO CHEESECAKE


Sumber rujukan: Blog Resepi Che Nom


Bahan-bahan:

Lapisan kerak bawah
🔸 18 biji oreo (inti gula diasingkan)
🔸 3 sudu besar butter (dicairkan)

Lapisan cream cheese
🔸 250 gm cream cheese
🔸 Inti gula (dari biskut oreo untuk kerak)
🔸 2 sudu besar gula kastor
🔸 1 sudu kecil esen vanila
🔸 1 sudu besar serbuk gelatin
🔸 200 ml whipping cream
🔸 5 biji biskut oreo (dipatahkan kecil-kecil)

Serbuk lapisan atas
🔸 7 biji biskut Oreo (asingkan inti gula)

DISCLAIMER:
Macam biasa, resepi ni dah diolah mengikut bahan yang ada dan citarasa tekak aku. Jadi ada yang main tangkap muat je asalkan semua bahan sebati dan kek aku jadi.

Contoh, Che Nom ada guna jus lemon tapi aku tak letak sebab malas nak beli lemon. Ala guna satu sudu besar je pun. Tak berbaloi 😂 Jumlah Oreo untuk kerak tu pun dilebihkan sebab I suka Oreo tebal dan ngam-ngam perabih 2 pek tu. Ala kita yang buat dia kan. Suka hati la nak ubahsuai macam mana pun.

Langkah-langkah penyediaan:


Lapisan kerak bawah
  1. Asingkan inti gula daripada setiap kepingan biskut dan ketepikan.
  2. Hancurkan biskut Oreo hingga menjadi serbuk halus.
  3. Cairkan butter dan campurkan ke dalam serbuk Oreo. Gaul sebati.
  4. Tuangkan ke dalam loyang pilihan. Ratakan dan tekan hingga mampat.
  5. Simpan loyang dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 30 minit untuk kerak Oreo tu sejuk.
Lapisan cream cheese
  1. Masukkan cream cheese ke dalam mangkuk. Pukul bersama gula kastor dan inti Oreo hingga sebati.
  2. Masukkan esen vanila dan pukul lagi.
  3. Cairkan serbuk gelatin dengan air panas dan kacau hingga gelatin larut sepenuhnya. Masukkan ke dalam adunan cream cheese dan pukul.
  4. Masukkan whipping cream dan pukul hingga campuran cream cheese menjadi kental.
  5. Campurkan biskut Oreo yang dah dipecahkan. Gaul dengan spatula agar biskut tidak terlalu hancur.
  6. Tuangkan adunan cream cheese yang sudah siap ke dalam loyang yang dah disejukkan tadi.
  7. Simpan dalam freezer selama beberapa jam atau semalaman. Ikut suka you alls.

Aku meraban apa?


Langkah pertama nak hancurkan biskut Oreo tu pun dah mencabar ya. Mula-mula aku patahkan biskut tu kecil-kecil dan cuba kisar guna blender kering yang biasa kisar kacang, gula etc tu. TAK JADI NYAH!

Hujung-hujung lepas tekan butang Off, bunyi kipas blender tu macam kipas besi tersangkut di besi karat. Lebih kurang macam tu la. Menakutkan betul. Aku risau blender tu nak meletup ke apa.

Last sekali tak jalan cara ni sebab biskut tak hancur sepenuhnya dan aku takut kat blender tu. Maka aku bubuh biskut tu dalam plastik, letak plastik tu dalam lesung batu, dan SAYA TUMBUK! Hasilnya:

Serbuk Oreo yang dah dicampur butter cair.

Kalau orang dengar pagi-pagi dah berbunyi tumbukan lesung tu, mesti ingat "rajinnya rumah ni masak." Padahal aku tumbuk biskut nak buat cheesecake je 😂

Untuk step pukul cream cheese dan whipping cream, resepi asal Che Nom pukul cream cheese asing, kemudian baru pukul whipping cream sampai kental dan campurkan kedua-duanya. Tapi sis malas nak basuh bekas banyak-banyak maka aku buat dalam satu bekas je. Takpe sama je jadi dia hehe


Kepingan biskut Oreo untuk campuran dalam cream cheese tu elok patahkan jadi lebih kecil sebab lepas kek tu disejukkan, masa nak potong kek tu susah sikit. Pisau sangkut di bahagian biskut melintang 😂


Lihatlah loyang saya yang tidak sepatutnya ini! 😂

Biasa orang buat cheesecake guna loyang springform yang boleh asingkan bahagian dasar tu kan. Tapi aku tak terbeli-beli ye loyang tu walaupun banyak kali usha di Shopee. Asyik tangguh je sebab "nak tunggu sale". Akhirnya masa ada sale pun aku tak beli jugak sebab terfikir "jarang guna" hehe

Makanya aku guna loyang biasa dan alaskan dengan dua lapis kertas minyak untuk mudahkan proses angkat kek tu keluar untuk dipotong. Berkesan juga cara ni. Cuma bahagian bawah kek tu tak terbentuk elok sangat la sebab loyang begini ada rounded-edge. Jadi sisi kek tak nampak sharp.


Oreo cheesecake yang ditaburi salji Oreo huhu~ tapi jujurnya nampak macam tanah je warnanya 😂

Yummy~

Nampak sedap tak? Aku tengok balik gambar ni pun dah rasa terliur semula. 😋

Ulasan rasa Oreo cheesecake:



Bak kata Che Nom, "Rasanya macam makan aiskrim." 

Rasa cream cheese tu lemak-lemak masam, digabungkan dengan rangup manis secukup rasa biskut Oreo, memang sedap. Makan masa hari panas-panas pulak, memang feeling makan aiskrim. Cuma cheesecake aku ada rasa masin-masin sikit sebab takde unsalted butter, so aku pakai Buttercup je hehe

Disebabkan oleh serbuk gelatin tu, Alhamdulillah lapisan cream cheese tu kental elok. Walaupun aku tinggal kek tu atas meja dalam suhu bilik dan terkena angin kipas, kek tu tak cair meleleh. Kesan yang sememangnya kita inginkan tapi tak mudah nak tercapai, terutamanya kalau gelatin tak larut elok.

Lebih-lebih lagi kalau jenis noob pemalas yang suka ambil shortcut macam aku 😂

Oreo cheesecake atas tu aku buat cubaan kali kedua tau baru dapat perfect tak mudah cair. Masa kali pertama aku buat kek tu, fail wehh. Sebab cubaan pertama tu aku buat pukul 2 pagi tau. Mengantuk teruk so aku malas la nak jerang air dalam cerek untuk cairkan gelatin tu.

Apa aku buat?

Aku panaskan air dalam kuali je untuk larutkan gelatin tu. Tu pun aku kacau ala kadar je. Pastu biarkan lama sangat dalam mangkuk masa pukul whipping cream. Jadi gelatin tu sejuk dan mengeras semula. Masa campurkan dalam adunan cream cheese, lagi la gelatin tu berketul sebab cream tu pun sejuk.

AKIBATNYA?


Oreo cheesecake tu jadi dipenuhi ketulan gelatin keras yang kenyal! Yang bulatan hijau tu 😂😂😂

Gagal teruk cubaan pertama ni 😌

Walaupun sukatan gelatin tu tak banyak, tapi sebab ia keras dan dipukul pula dengan mixer pada kelajuan tinggi, gelatin tu hancur. Sebab tu berterabur gelatin keras tu dalam cream cheese. Setiap satu suapan, mesti ada ketulan gelatin tu. 

Rasa gelatin keras tu kenyal macam chewing gum. Gigit-gigit, tak hancur. Dah kena ludahkan balik. Spoil mood hahaha. Dan sebab gelatin tu tak set dengan sempurna, lapisan cream cheese tu jadi mudah cair walaupun baru keluar sekejap dari peti 🙃

Dah la kerak Oreo tu pun mudah hancur sebab sukatan butter sepatutnya SUDU BESAR. Tapi aku tersalah guna yang sudu HALF-TABLESPOON. Mamai punya pasal buat kek pukul 2 pagi. Tu makan dia 🙃🙃

Aku dah pesan kat anak buah aku "kalau masa makan tu ada tergigit sesuatu, tu gelatin. Tapi lupa nak pesan kat kakak aku pasal benda tu. So tak memasal dia ingat ada plastik termasuk dalam kek tu dan aku tak perasan nak keluarkan hahahah

Sebab tu cubaan kali kedua ni aku dah belajar daripada kesilapan.

Aku jerang air dalam cerek sampai betul-betul mendidih, kemudian kacau sampai gelatin larut sepenuhnya. Masa pukul cream cheese + whipping cream, aku letak mangkuk gelatin tu dalam mangkuk besar berisi air panas untuk elakkan gelatin tu sejuk. Begitulah kisah akhirnya kek saya berjaya! 😂

Teringin lagi nak buat Oreo cheesecake ni sebenarnya tapi pasang niat je la dulu. Sebab kos barang kan dah makin mahal sekarang. Harga makanan asas pun tinggi, yang jenis barang import gini lagi la kan. Aku pun tengah jimat-jimat sementara dapat pekerjaan lebih elok ni. Doakan agar saya berjaya 😊

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.
SHARE 2 comments

Add your comment

  1. kak kek ni kalau letak suhu bilik lama lama cair tak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Depends kat penyediaan serbuk gelatin tu. Kalau larut elok masa mix dgn cheese, duk suhu bilik pun cheese tu jadi lembut je. Tp klu gelatin berketul mcm cubaan pertama kat atas tu, cheese takkan set dgn elok & akan cair meleleh macam aiskrim huhu

      Delete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS