Akhirnya selamat keluar dari hospital! | NaSa

Akhirnya selamat keluar dari hospital!

in , by NaSa, October 12, 2021
Assalamualaikum

Alhamdulillah...berkat doa semua, akhirnya mama dah selamat pulang ke rumah lepas hampir sebulan berkampung di hospital. Maksudnya aku pun dah tak payah jadi penunggu katil dalam wad tu. Syukur urusan dipermudahkan sebab kalau ikutkan, doktor pakar nak suruh duduk dalam wad tu sampai 16 Oktober ni iaitu hari Sabtu. Tapi doktor lain masuk dan tengok yang keadaan mama sebenarnya dah okey pun. Jadi dia bagi balik awal maka di sini la kita sekarang buat sesi throwback ahaks

Hospital Tengku Anis Pasir Puteh.

Ni adalah hospital keempat aku jejak dalam masa 2 bulan ni ya. Daripada Hospital Tumpat, pindah ke Pasir Mas, kena kejar ambulans pergi ke hospital Kota Bharu, pastu tercampak ke Pasir Puteh ni pula. Peh aku rasa kalau kena hantar ke hospital Jeli ke, Kuala Krai ke pasni, hampir satu negeri Kelantan aku berjalan. Tapi harapnya dah takde la episod masuk wad ni. Penat woh. Mental fizikal semua rabak. 

Cukup la Hospital Pasir Puteh ni hospital paling jauh pernah kami jejak setakat ni. Jarak perjalanan boleh cecah sejam lebih berbanding hospital lain yang cuma makan masa dalam 20-40 minit. Tapi nak buat macam mana kan. Lepas mama keluar dari unit CCU haritu, sempat duduk kejap je di wad HRPZ tu sebelum dipindahkan ke sini sebab HRPZ banyak kes COVID. Risau berjangkit.

Asalnya nak pindahkan ke hospital Pasir Mas yang memang dah ada rekod dialisis di situ tapi alkisahnya wad Pasir Mas pun semua penuh. Hospital Tumpat pula tak ada pakar sakit buah pinggang, cuma ada tempat dialisis je. Tu yang tercampak jauh ke Pasir Puteh ni. Dugaan.

Apa penyakit mama sebenarnya sampai berpindah-randah dari satu hospital ke hospital lain ni?

Well...aku nak explain lebih lanjut pun tak reti sebenarnya tapi masa dengar geng doktor pakar bercakap haritu, tahu la yang mama kena jangkitan MSSA Bacteremia. Ikut bahasa biasa kita, jangkitan kuman dalam darah la. Kuman ni asalnya sejenis kuman biasa yang ada di kulit sesiapa pun. Cuma kalau kuman ni masuk dalam badan melalui mana-mana luka terbuka, tu yang melarat lebih teruk jangkitannya.

Siapa yang berisiko kena jangkitan MSSA Bacteremia ni?

Senarainya panjang. Tapi mengikut ciri-ciri yang ditulis dalam laman WebMD pasal MSSA ni, mama memang orang yang berisiko sangat tinggi la untuk kena sebab banyak syarat dah dipenuhi tu 😐

Mama masuk wad je dah 2 kali dalam masa 3 minggu haritu, pastu memang ada kencing manis yang cucuk insulin setiap malam dan setiap minggu pun kena cuci darah 3 kali kan. Memang berisiko la.

Mula-mula kaklong yang jaga mama di wad 2 minggu pertama sejak di HRPZ sampai pindah ke Pasir Puteh tu sebab banyak sangat benda yang perlu diuruskan akibat masuk wad mengejut tu. Sebab kalau ikutkan, 21 September 2021 tu mama sepatutnya kena jalani pembedahan Fistuloplasty di HUSM buat kali kedua untuk baiki fistula dialisis yang tersumbat. 19 September tu dah kena check in wad tapi masa tu mama masih ditahan di unit CCU di HRPZ kan, nak pergi macam mana. Kena la tunda tarikhnya.

Masa 2 minggu tu, doktor kata lepas masukkan antibiotik untuk matikan kuman dalam darah, mama dijangka boleh balik 2 Oktober haritu. Tapi entah la benda kuman tak nak mati kan. So kena extend antibiotik tu selama lagi 2 minggu untuk pastikan darah bebas jangkitan. Kaklong pula ada urusan claim tertunggak yang perlu diuruskan di sekolah tempat dia kerja di Penang tu. Sebab tu tukar dengan aku.

First time datang sini.

Peraturan asal di hospital masa musim COVID ni sebenarnya memang tak boleh tukar-tukar waris kan untuk kurangkan risiko jangkitan COVID dalam wad kalau waris duk keluar masuk. Tapi sebab kaklong dah lama sangat jaga dalam wad dan ada urusan kerja, maka kami diberi kebenaran untuk tukar la. Syarat utama, semestinya kena buat swab test dan keputusannya mestilah NEGATIF.

Kena ambil surat ni daripada doktor dalam wad baru boleh buat swab test.

Swab test ni sepatutnya kena bayar tapi masa aku buat tu percuma je atas fakta yang waris akan jaga di wad ni lebih daripada seminggu. Tak ingat kaklong cakap kenapa haritu. Tapi basically dia macam kalau tukar waris dan waris ni cuma jaga beberapa hari je, kena bayar sendiri kos RTK tu (seakan-akan denda). Tapi sebab kaklong aku dah jaga lebih seminggu dan aku yang ganti ni pula dijangka duduk wad selama 2 minggu, hospital "belanja" la RTK tu haha. 

Mungkin ihsan hospital yang kesian kot sebab dah la RTK mahal, lepas waris tu masuk wad pasni dah tak boleh keluar sampai pesakit dah discharge. Tak ke pishang mereka dalam wad? :'(

Alhamdulillah maintain negatif.

Walaupun ni kali kedua aku buat swab test, tapi tetap tak biasa ye dengan sensasi benda tu masuk jolok lubang hidung. Dah la MA kalini dia siap kira tau sampai 6 saat untuk swab tu duduk dalam hidung aku baru dia tarik keluar. Memang nak nangeh la rasa. Mujur MA handsome (eh?) hahahaha

Peraturan hospital ni punya strict kan, lepas aku dapat keputusan swab test tu, kalau aku masuk dalam wad pergi ke katil mama, lepas tu aku dah tak boleh keluar dah (dan kaklong pun dah tak boleh masuk sebab hak menjaga dah bertukar). Pehhh...

Mujur haritu Sabtu yang mama kena dialisis. So lepas kaklong selesai ambil barang dia dan balik, aku lepak dulu di Unit Hemodialisis (Unit HD) tu ambil angin luar puas-puas. Lepas mama siap dialisis, baru kami sama-sama balik ke wad dan bermula la sesi aku terperangkap di situ 😂

Mujur katil sebelah kosong

Wad perempuan ni ada 18 katil (tak termasuk katil di unit kanak-kanak di bahagian depan). Mama dapat katil 17 di ruang wad paling belakang, dekat dengan tandas dan surau. Sebabnya mama bukan sakit berat pun. Lepas dirawat di HRPZ haritu, muntah dan berak berdarah tu dah berhenti. Jantung pun okey. Datang sini cuma nak habiskan antibiotik je. Jadi dikira sebagai bukan kes berat la sebab tu diletak di belakang. Kes berat-berat je duduk di katil depan, contohnya pesakit COVID yang kena pakai oksigen.

Ruang belakang ni best sebab cuma ada 2 katil je. Belakang katil ada partition kayu, depan dan tepi katil semua dinding. Jadi tak kena menghadap katil orang lain dan aku pun bebas la sikit nak buka tudung, nak baring, nak apa pun. Dekat dengan tandas juga so senang nak tolak kerusi roda mama untuk mandi. Cuma cons bila duduk dekat dengan tandas ni, bila orang lain duk batuk tarik kahak dalam tandas tu memang kau dengar jelas dan kembang tekak serta meremang bulu roma la 😫

Yang tergantung tu botol drip untuk antibiotik

Dalam wad ni ada TV LCD besar tau tapi kami duduk di tepi jadi tak dapat tengok skrin pun, dengar suara je. Makcik yang katil di ruang tengah wad tu pula katanya dia nampak gambar sebab skrin besar. Cuma TV tu jauh so dia tak dengar suara. Jadi dia tukang tengok gambar, kami tukang dengar suara hahaha. Masa show Shopee 10.10 tu pun aku tumpang dengar lagu je. Tak tahu pun siapa artis jemputan Shopee.

Rutin harian duduk wad kat sini sama je la dengan wad hospital mana-mana pun. Selang 2-3 jam akan ada nurse tolak mesin check tekanan darah tu dari katil ke katil ambil bacaan BP dan kadar oksigen dalam darah. Pastu sebab mama kena masukkan antibiotik kan, setiap 4-5 jam akan ada staff nurse datang suntik ubat dalam botol drip tu campurkan dengan saline water dan sambungkan wayar ubat. Tengah-tengah malam dan subuh pun nurse akan datang ye.

Mama pakai wayar ubat di leher masa ni sebab urat di tangan terlalu kecil dan doktor susah nak cucuk jarum branula tu. Jadi apabila cucuk di leher macam pasang IJC dialisis tu, mudah la ubat nak masuk sebab terus ke dalam urat besar. Cuma yang susahnya, kena jaga posisi leher.

Stress woo... Kalau leher tunduk sikit je, urat jadi sempit dan ubat tak nak turun walaupun dah berjam-jam. Tapi kalau posisi leher elok, kurang setengah jam pun ubat dah habis. Tapi tu la mama mengadu lenguh nak kekalkan posisi yang bagi ubat turun tu. Kejap melentang, kejap menyenggeng, kejap duduk. Macam-macam posisi kena try and error 💆🏻‍♀️

Lagi stress bagi sebab ada "kawan baik" duk berjalan-jalan di situ. Sebab dekat dengan tandas kan, jadi lipas merayap seekor dua tu biasa la. Tengah aku baring atas toto yang dihampar tepi katil mama dan ready nak tidur pun ada je yang lalu ambil angin malam. Mujur la aku bukan jenis takut lipas (cuma risau masuk telinga je la). Kalau tak, ada dengan aku sekali naik tidur atas katil pesakit.

Cik Pas nak pergi mana tuuu~

Apa lagi yang stres duduk di hospital ni?

MAKANAN ya. 

Kalau di Pasir Mas dulu, boleh je keluar masuk wad pergi beli sendiri makanan di kafe atau kedai luar. Tapi syarat dia, kena repeat swab test setiap 3 hari untuk sahkan diri sentiasa negatif COVID. Di Pasir Puteh pula, cuma kena buat sekali je swab test tu. Tapi untuk kekalkan status negatif tu, memang tak boleh keluar wad langsung. Nak jejak kaki keluar pintu depan pun DILARANG, inikan pula nak pergi kedai.

Kalau family nak hantar makanan, kena tinggal di kaunter guard di luar wad tu je. Tapi tu la nak suruh family hantar makanan setiap hari macam mana kalau dah rumah aku dengan hospital ni je pun dah sejam (2 jam pergi balik). Orang lain semua kerja kan. Abah nak drive datang sini lagi la kami tak bagi.

Makanan yang disediakan hospital memang la ada tapi untuk pesakit je la kan. Tu pun tak semua akan makan sebab Ya Allah mentang-mentang la di pintu masuk wad tu dia ada letak slogan "Kurangkan gula dalam makanan, lebihkan manis dalam senyuman", makanan dia pun semua tawar hebeh haha. Air teh pun cuma warna je teh. Aku try minum, serupa air paip je. Kuah lauk pun tawar. Dan masalahnya hampir setiap waktu makan dia bagi lauk berkuah 🙂

Dua kali je dapat merasa ayam goreng haha

Memandangkan tak boleh keluar beli makanan sendiri dan family pun tak boleh nak hantarkan makanan sebab jauh, jadi kami bergantung sepenuhnya kepada Foodpanda ya. Mujur la aktiviti Foodpanda di sini aktif dan ada banyak pilihan kedai makan. Boleh la setiap waktu makan tu cuba menu lain-lain yang kaya dengan rasa berbanding makanan hospital ni. 

Mama pun sejak muntah-muntah tu berhenti, habis semua benda dia mengidam nak makan. Macam qadha waktu yang dia tak boleh makan dengan elok dulu. Sebab tu kakak-kakak aku transfer duit RM500 untuk makanan je. Katanya nak makan apa, beli je. Lagipun harga dalam Foodpanda kan lebih mahal daripada harga kedai sebab termasuk upah delivery dan service tax.

Seminggu duduk wad habis dekat RM300 🙂

Tapi kami ni kira bertuah sikit la daripada kebanyakan pesakit lain dalam wad tu. Mama kan kena dialisis setiap 2 hari, jadi aku pun boleh la ikut keluar sekali masa pergi ke Unit HD tu. Dapat juga merasa tengok pemandangan luar daripada terperuk dalam wad je macam orang lain yang tak boleh keluar langsung. Cuma slack sikit je sebab Unit HD tu di bangunan asing yang jauh gila, tak macam Hospital Pasir Mas yang disambungkan oleh koridor berbumbung yang sama.


Unit HD ni luas dan selesa juga cuma jauh tu je yang tak selesa untuk pesakit yang dalam wad. Nak tolak kerusi roda tu kena lalu atas jalan tar yang berbatu. Di ruang parkir ambulans sebelah Unit Kecemasan tu boleh buat shortcut tapi tu la asyik kena block dengan ambulans je haha. So kena lalu jalan belakang yang dah serupa rollercoaster aku rasa. Tapi sebab Unit HD ni ramai pesakit luar so logik la dia bina di bangunan asing sebab ruang parkir lebih luas dan mudah untuk family turunkan pesakit.

Waktu tunggu mama siap dialisis, boleh la aku merayap ke kedai runcit hospital @ Serasi Mart ni. Ada kedai makan sekali tepi mart ni tapi buka waktu pagi je aku rasa. Kami dialisis selalu sesi petang so bila aku datang, kedai tu asyik tutup je. Mujur aku cuma nak beli jagung susu dan waffle kedai runcit tu je.

Kedai runcit ni pun jauh juga daripada bangunan hospital tapi boleh la daripada tak ada langsung kan

Sepanjang dialisis di sini, ada 2 kali aku menyampah dengan cuaca sebab aturannya yang pelik sungguh. Masa hari yang kami duduk je dalam wad, tak hujan tau. Tapi masa 2 hari dialisis tu, hujan lebat gila. Sebab wad jauh, ambulans yang akan hantar ke wad kalau hujan. Masalahnya kaki mama retak dan tak boleh tunjal naik ambulans yang tinggi tu. Jadi catat sejarah la nurse di wad kena bawakan payung untuk kami sebab kami lagi rela redah hujan rintik-rintik daripada naik ambulans haha

10 hari bertapa dalam wad ni, Ya Allah bosan tak boleh nak diungkap ye aku ni. Nak buat kerja intern pun sikit-sikit je dapat sebab phone tak selesa macam guna laptop. Walaupun kaklong pinjamkan tablet dia yang skrin lebih besar, tetap tak selesa sebab payah nak login emel sendiri guna gajet orang ni. Untung line Maxis di sini okey jadi WiFi aku tak terjejas. Boleh la skrol Twitter buat hilang bosan. Siap bergaduh dengan antivaksin dan lelaki bodoh yang antiperempuan lagi isi masa lapang 💆🏻‍♀️

Dan semalam 11 Oktober 2021, akhirnya dapat kebenaran daripada doktor untuk balik ya. Sebab pertama, kuman dalam darah tu dah mati pun. Sebab kedua, kesian kat mama sebab dah 3 tempat kena cucuk jarum nak masukkan ubat tu. Wayar mula-mula di leher tu bocor dan ubat meleleh keluar so doktor cucuk jarum lain di tangan untuk ganti. Tapi tak tahan lama juga so cucuk di lengan pula. Habis bengkak dan lebam lengan kiri mama. Ada pakej nak demam lagi.

Jadi doktor bagi green light untuk tanggalkan jarum di lengan tu sebab kang kalau demam, kena extend lagi di wad ni tak sanggup wohh. Dia bagi ubat antibiotik yang boleh dimakan di rumah selama lagi 5 hari untuk ganti drip yang sepatutnya diberi sampai hari Sabtu ni. Walaupun kena repeat makan 4 biji antibiotik tu setiap 4 jam, mama rela asalkan boleh balik lol. Tu yang masa doktor tanya semalam "nak balik harini ke?" kami macam duhh of course la. Jenuh dah kami ni duduk dalam wad tau. 

Selfie kenangan terakhir di wad Pasir Puteh ni haha

Settle je sain surat discaj, aku terus inform di group family cakap dah boleh balik. Siap terus call pusat dialisis yang kami bayar tu untuk cakap mama dah boleh balik dan nak pergi dialisis di sana sebab tak jadi dialisis di hospital. Sup-sap sup-sap kemas barang, tahu-tahu kaklong dan adik aku dah sampai di hospital nak ambil kami balik. Heh. Tepat pada masanya.

Sempat kaklong candid gambar ni sebagai kenangan duduk di hospital paling lama dalam sejarah setakat ni 😂

Sebelum balik tu pun sempat berbabai dulu dengan waris dan pesakit lain. Almaklum la lama sangat kan duduk kat situ, masing-masing dah macam jadi member dengan each other. Dengan nurse pun sama naik tak kisah la staff nurse ke, nurse pelatih yang tengah buat latihan dalam wad tu, semua dibabai. Oh ya lupa nak cakap kat sini memang ramai nurse pelatih dari KPTM. Mereka la yang biasa in-charge ambil tekanan darah, check gula, etc dalam wad tu. And mereka semua comel haha

Dengan guard pun tak lupa berterima kasih juga sebab semua baik-baik. Mereka la yang selalu tolong hantarkan makanan yang Foodpanda hantarkan tu ke katil kami. Aku ingatkan nak kena ambil sendiri lepas app dah kata delivered tapi tak sempat bangun pun, akan nampak guard bawa plastik makanan tu jalan ke katil. Betul punya tak nak kami keluar dari ruang wad ye 😅

Dannnn begitulah kisahnya pengembaraan di hospital ni. Masa 2019 dulu aku rasa dah cukup kecoh ulang-alik ke Hospital Pasir Mas untuk dialisis sementara tunggu dapat tempat di pusat dialisis swasta tu. Tahun lepas macam tenang sikit sebab Alhamdulillah dipelihara oleh Allah daripada kena apa-apa penyakit teruk masa kenaikan kes COVID tu. Tahun 2021 ni je la tak sangka dugaan berat sikit sebab macam-macam penyakit datang huhu

Terima kasih kepada semua sokongan yang diberikan sepanjang kami menempuh dugaan ni. Kawan-kawan media sosial terutamanya Twitter yang skrol je tweet meroyan aku, kenalan di Whatsapp yang baca je status membebel aku, dan kawan-kawan blogger yang sudi berkunjung ke blog ni. Semoga anda sentiasa dikurniakan kesihatan dan rezeki yang berpanjangan.

Doakan juga mama akan sentiasa sihat lepas ni ya. Sebab masih ada temujanji dengan HRPZ untuk endoskopi kali kedua nak tengok balik pendarahan dalam perut yang jadi punca muntah darah tu. Hujung tahun ni pun kena pergi HUSM lagi untuk pembedahan fistuloplasty kali kedua tu. Yang first haritu buat masa bulan Februari haha nampaknya memang nasib la 2021 ni dimulai dan diakhiri dengan trip di hospital ye 😌

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.
SHARE 7 comments

Add your comment

  1. Semoga mama terus sihat.. Gigih ammi baca karangan 1000 perkataan awak ni tau

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aminn terima kasih atas doanya Ammi. Biasa la kisah 10 hari compressed dalam 1 entri, berjela la ceritanya 😂

      Delete
  2. Semoga mama diberi kesihatan yang berterusan... Kesian pulak asyik bertukar-tukar hospital...

    ReplyDelete
  3. kalau uncle pun stress tak boleh ngeteh kat kafe...

    ReplyDelete
  4. Semoga mama nasa lebih sihat ye seperti biasa.
    Nasa kalau penat berehat dulu tau! stay safe! take care!

    ReplyDelete
  5. Panjang kisahnya, dah macam baca cerpen pula hehehhee.
    Syukur Alhamdulillah.Mudah-mudahan terus sihat.
    Nasa pula bawa-bawalah berehat.

    ReplyDelete
  6. Salam ziarah...dah follow laman anda ya

    ReplyDelete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS