Masak-masak: Waffle mini untuk orang single | NaSa
Assalamualaikum


Haritu kan aku cerita pasal aku beli mini waffle maker dari Shopee yang bersaiz besar sikit je daripada tapak tangan orang dewasa. Ingat nak cerita sekali pasal resepi waffle yang aku guna dan pengalaman memasak tu. Tapi Allahu panjang teruk entri tu jadinya. Dah la banyak gambar aku nak share haha. Maka aku pecahkan kepada dua dan cerita pasal resepi tu kemudian saja la.

Mudah je sebenarnya cara nak buat adunan waffle ni. Mujur aku tak beli tepung waffle yang dah siap tu sebab buat sendiri lebih jimat dan boleh buat lagi banyak mengikut kehendak anak tekak kita hehe

Tanpa buang masa, ayuhlah kita belajar cara buat waffle ni. Boleh rujuk resepi di bawah ya.

Bahan-bahan bater waffle:

- 1 ½ cawan tepung - 3 sudu besar gula
- 3 sudu besar minyak
- 1 sudu teh esen vanila - ½ sudu teh garam,
- ½ baking powder
- ½ soda bikarbonat
- 1 biji telur - 350-400ml air @ susu segar

Ya, waffle boleh juga dibancuh guna air tau. Tak sangka pula menjadi sebab dulu-dulu aku ada juga google resepi waffle sebab teringin nak beli waffle maker. Tapi tengok dia tulis susu tu, macam mahal je nak buat so aku tak beli la. Lepas jumpa resepi waffle guna air ni baru aku proceed beli waffle maker mini tu sebab dah yakin yang ianya senang nak dibuat.

Apa perbezaan kalau buat adunan waffle guna air dan susu segar?
Adunan guna air kosong - Waffle rasa agak plain tapi lebih cepat masak dan garing. Luaran waffle akan rasa crispy. Tapi waffle tak boleh dilipat lepas sapu inti sebab kulitnya agak keras.
Adunan guna susu segar - Waffle rasa lebih berlemak. Cuma ambil masa lama untuk masak dan lebih lama untuk garing. Tapi yang bestnya, waffle boleh lipat lepas sapu inti sebab ianya lembut dan fluffy.

Aku gabungkan terus semua bahan dalam satu bekas sebab nanti kena kacau sampai sebati juga kan
Oleh sebab resepi waffle ni dah campur minyak masak dan iron plate waffle maker tu pun non-stick, kita dah tak perlu sapu minyak pada waffle maker tu sebelum memasak. Tapi kalau nak sapu juga, okey je. Ikut suka la. Aku tak sapu pun sebab malas guna barang banyak-banyak. Penat nak basuh 😂

CONTOH PROSES MEMASAK WAFFLE MINI:
Ye aku masak dalam bilik atas meja study, di tempat sama masa buat air panas guna cerek mini haritu. Sebab kan wayar waffle maker ni pendek. Kat dapur tak sampai nak cucuk plug sebab extension tu tinggi. Maka bilik aku je la sesuai sebab extension tu atas meja. Sambil kerja, sambil masak waffle lol

Tahap garing yang kita nak setkan sebagai standard masak bagi setiap waffle, boleh tentukan melalui lampu hijau atas waffle maker tu. Kalau padam sekali, masak sedang elok je. Kalau nak lagi garing, kena tunggu lampu tu menyala dan padam 3-4 kali baru dapat warna kita nak. Ikut preference kita 😋

Pandangan dari tepi masa waffle sedang dimasak.
Kelakar je tengok bater tepung tu naik macam tu hahaha 
Masa untuk sekeping waffle masak tu sekejap je, dalam 2-3 minit.

CUBAAN PERTAMA: ADUNAN WAFFLE GUNA AIR


Seperti yang aku tulis sebelum ni, waffle cubaan pertama aku kurang menjadi sebab adunan agak pekat. Apabila dituang ke atas iron plate, ada tempat yang terlebih tepung, ada yang terlebih air. So walaupun aku tunggu lama sampai 3-4 minit, waffle tu tetap tak garing sekata. Sebaliknya jadi bertompok-tompok dah serupa lembu susu dari New Zealand 😂

Nampak tak waffle tu ada tompok-tompok putih yang tak cukup garing tu?
Punca lambat masak dan tak garing sekata tu sebab resepi asal yang aku screenshot dari mana entah tu cuma tulis "air secukupnya." Vague betul arahan haha. Sebab tu aku tibai je letak 300ml air (air secawan kecil). Sebelum masak, nampak macam ok je tapi rupanya tak cukup cair juga 😅

Kali kedua aku cuba, aku tambahkan air ±50ml untuk konsistensi bater yang lebih cair dan lepas tu barulah waffle tu masak dengan lebih sekata. Masa masak pun sekejap je. 2 minit dah garing sebab bater cair lebih cepat dimasak. Sebab tu atas tu aku letak "350ml air" untuk mudahkan sukatan anda.

Tapi walaupun batch pertama tak jadi, aku makan je semua sebab lapar campur panas lepas sekian lama duk test waffle maker tu. Untung aku selalu ada stok Nutella. Sedap juga sapu atas waffle. Pastu buat teh hijau secawan guna cerek mini tu. Cuaca pula mendung. Best betul makan panas-panas 😋

CUBAAN PERTAMA: ADUNAN WAFFLE GUNA SUSU SEGAR


Haaa bila gunakan susu segar ni, cabaran lain pula yang tiba. Sebab walaupun adunan waffle tu dah cukup cair, tapi berbanding waffle guna air tadi yang garing atas bawah dalam 2 minit, waffle susu ni tetap nampak macam tak masak walaupun tunggu sampai 3-4 minit. Nak tunggu garing apatah lagi. Nyaris masuk kategori hangit baru la rasa ada tekstur crispy ahahah

Nampak tak bila buka penutup waffle maker tu, warna waffle di bahagian atas banyak warna putih dan nampak macam tak masak, tapi bahagian bawah warna hampir completely keemasan? Berbeza dengan video waffle guna air kat atas sebab bahagian atas nampak la jugak hampir masak sepenuhnya.

Tapi best waffle guna susu ni sebab gebu je waktu aku tekan dengan spatula. Kunyah pun lembut. Sesuai la bagi orang ada masalah gigi/mulut. Berbanding waffle yang buat guna air tu, yang tu lebih rangup. Kalau masak lama sikit, garing sampai bila gigit tu bunyi crunchy serupa biskut. Jauh beza 😂

Waffle yang siap disapukan inti dan dilipat untuk dimakan 😋
Waffle ni kalau sapu Nutella je pun dah sedap actually. Tapi padanan inti waffle yang terbaik bagi aku, semestinya coklat dan peanut butter. Manis coklat, masin peanut butter, ditambah pula lemak waffle tu sendiri, memang sedap! Sebab tu aku gigih berputar cari peanut butter masa keluar ke Tesco haritu.

Waktu buka botol peanut butter tu pula, tengok permukaannya smooth je di bawah. Lagi puas hati 😆

Tergoda saya 😍
Selain lembut dan fluffy, salah satu kelebihan kalau buat waffle guna susu segar ni kan, bau waffle tu selepas dimasak SANGAT WANGI. Sebijik bau waffle beli di kedai. Aku makan tu tetiba teringat kenangan pergi shopping mall pastu lalu sebelah kiosk Famous Amos atau Auntie Anne's. Selalu kan semerbak je bau cookies mereka tu. Haaa itulah bau kemanisan yang aku rasai dari waffle susu ni.

Begitulah pengalaman aku memasak waffle sendiri gunakan air dan susu segar ni. Dua-dua sedap je bagi aku. Tapi orang lain boleh la pilih guna air atau susu ikut kriteria waffle yang mereka suka. Aku teringin pula nak tahu apa akan jadi kalau kita campur separuh air-separuh susu dalam adunan hehehe. Nanti la aku beli susu lain untuk cuba 😋

Yang pasti, memang mudah ya bila ada waffle maker sendiri. Terutamanya untuk orang yang kadang-kadang tak lalu makan macam aku ni. Bila-bila rasa lapar tapi tak selera kat nasi, boleh bancuh dan masak adunan waffle je. Kalau craving nak waffle pun, tak perlu keluar pergi beli dah. Jimat duit ✅

Anda suka waffle ke tidak? Jom la join memasak dengan saya hahahaha

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.

SHARE 2 comments

Add your comment

  1. dah lama teringin nak beli mesin waffle ni tapi takut tak menjadi nak buat adunan dia. thanks kongsi resepi, comel waffle maker awak punya ni :)

    ReplyDelete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS