Prosedur buat border pass ke Thailand | NaSa

Prosedur buat border pass ke Thailand

in , by NaSa, May 15, 2026
Family kami ni boleh dikatakan dalam setahun tu ada la sekali dua akan rentas sempadan Kelantan untuk ke Tak Bai, Thailand. Mainly kakak aku la suka beli barang kat situ sebab katanya murah. Entah apa yang dicari, aku pun tak tahu. Sebab aku bukan kaki berjalan, selam bundle, food hunter. Beli barang pun suka di Shopee. Mahal sikit takpe. Yang penting aku tak penat haha

Tapi tu la kadang-kadang akan dikerah juga suruh ikut. So nak tak nak kena la jejak Pejabat Imigresen di UTC tu untuk buat Pas Lintas Sempadan (Border Pass). Benda ni penting masa rentas Sungai Kelantan ke Tak Bai. Sebab kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab kena la pergi ikut undang-undang, bukan rentas secara haram 🤭


Nampak macam pasport tapi warna biru (pasport Malaysia warna merah). Sebab border pass ni istimewa sikit. Tak semua rakyat Malaysia boleh dapat. Kawasan yang boleh dilawat pun terhad je.
Sah untuk:
Warganegara Malaysia yang lahir atau bermastautin tetap melebihi satu (1) tahun di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Daerah Hulu Perak (Pengkalan Hulu, Grik dan Lenggong) sahaja.
Had Perjalanan:
Hanya sah untuk perjalanan dari negeri-negeri sempadan ke selatan Thailand iaitu Wilayah Satun, Songkhla, Yala, Narathiwat dan Pattani.

PROSEDUR MEMOHON BORDER PASS MALAYSIA

Memandangkan aku baru lepas buat border pass haritu, meh la kita share sikit tatacara yang perlu diikuti di Pejabat Imigresen tu, mainly di cawangan UTC Kota Bharu.

Dokumen yang diperlukan:
• Gambar berukuran pasport, background putih
• Kad pengenalan (IC) / surat beranak
• Borang permohonan
• Borang izin ibu bapa (remaja >12 tahun tapi <18 tahun)
• Border pass lama (jika ada)

1) Ambil nombor giliran dan borang permohonan
Sebelah pintu masuk tu, ada meja guard. Cakap je nak buat dokumen apa (pasport antarabangsa atau border pass), nanti dia akan berikan nombor giliran dan borang. Kat sini dia akan minta siap-siap IC dan gambar pasport. 

Kalau tak ada gambar atau gambar yang ada tu dia kata tak lulus, boleh je ambil gambar dalam pejabat tu juga. Ada bilik photographer di sebelah paling kanan ruang pejabat tu. 4 keping gambar RM10. Boleh bayar cash atau transfer guna QR.

Depan bilik tu pun ada mesin ukur tinggi. Guard akan pesan suruh ukur tinggi siap-siap juga kalau tak tahu atau tak pasti ketinggian diri sendiri sebab ni pun perlu isi juga dalam border pass tu nanti. 


Guard akan catat siap-siap tinggi kita di nombor giliran, takut lupa haha

2) Jumpa pegawai imigresen selepas nombor dipanggil
Pegawai akan tanya beberapa soalan basic pasal diri kita macam nombor telefon, pekerjaan, status perkahwinan, tinggi, dan umur. Kalau ada border pass lama, dia akan ikut info yang ada kat situ je. Tapi sebab border pass aku yang lama tu dah entah ke mana perginya, aku kena jawab balik la semua soalan.

Lepas siap print borang, pegawai akan minta kita tandatangan borang tu dan cop cap ibu jari kanan bawah gambar kita. Pastu kena tunggu sampai nombor kita dipanggil untuk buat pembayaran. Tapi belum dapat lagi border pass tu.

3) Buat pembayaran di Kaunter 12
No more cash ya. Ingat bahawa di sini hanya boleh bayar pakai kad debit je. Pegawai akan minta kad bank, tap untuk paywave, dan dia akan serahkan balik kad bank tu bersama IC kita dan resit bayaran. Pastu kena duduk balik dan tunggu lagi sebab border pass masih belum siap ahahahah 

4) Ambil border pass di Kaunter Serahan
Lepas border pass tu siap, nanti tak panggil guna nombor giliran dah. Pegawai akan panggil ikut nama kita. Sebelum ambil tu, kena tandatangan dalam border pass tu depan pegawai tu sebagai bukti kita pemiliknya. Kemudian, dah boleh balik.

Nak terus lompat pergi ke Thailand tu pun boleh kalau ada tenaga dan masa lagi hehe
Tempoh sahlaku border pass ni pendek je sebab cuma untuk setahun, tak macam pasport antarabangsa yang sah selama 5 tahun. Dan kena ada minimum 30 hari sebelum expired kalau nak travel ke Thailand tu. Kurang 30 hari, dah tak boleh travel dan kena la pergi buat border pass baru.

Simple je kan prosesnya. Cuma kalau nak siap cepat, pergi la masa weekday yang bukan sebelum musim cuti panjang. Masa aku pergi ni boleh tahan lengang pejabat tu tapi ada la dekat 2 jam baru siap. Kakak aku pergi buat haritu sekitar musim cuti sekolah awal tahun haritu. Bapak la ramai orang sampai melimpah ruah ke luar pejabat duk menunggu. Pishang mat 😂

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.


SHARE 0 comments

Add your comment

Komen anda akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS