Tabung Hijau: Cara mudah untuk menabung | NaSa

Tabung Hijau: Cara mudah untuk menabung

in , , by NaSa, October 16, 2021
Assalamualaikum

Apakah salah satu kelebihan kita tinggal di negara Malaysia?

Duit kertas kita berwarna-warni hahahah~

Sumpah tak tipu yang duit berwarna-warni mengikut nilai yang berbeza-beza ni adalah satu benda yang best ya. Terutamanya kalau semua warna duit kertas tu ada dalam beg duit kita dan setiap satu warna tu tebal gila. Peh betapa indahnya pemandangan itu kan. Rasa kaya yang amat 😂

Selain memeriahkan beg duit kita dengan warna bak pelangi, duit kertas berwarna ni sangat membantu untuk kita menabung juga sebenarnya. Aku belajar tips ni daripada Kewangan Graduan di Twitter sejak awal tahun 2017 kalau tak salah, dan masih lagi diamalkan sikit-sikit sekarang. Basically, kata mereka:
Untuk latih diri agar lebih konsisten dalam menabung, boleh pilih satu sahaja warna duit kertas dan amalkan simpan semua duit kertas yang berwarna sama tu ke dalam tabung.
Contohnya, kalau rasa nak belajar menabung secara kecil-kecilan dulu, boleh mulakan dengan duit RM1 dan asingkan duit tu setiap kali ada dalam dompet. Tak kisah la sama ada orang bagi duit tu atau duit tu dapat sebagai baki lepas kita pecahkan duit besar. Asalkan ada duit RM1, masukkan terus dalam tabung.

Tu untuk level picisan. Bagi orang di peringkat pertengahan, boleh juga guna konsep sama dengan duit RM10 atau RM20. Paling mantap, semestinya golongan advanced yang lebih tabah asingkan duit RM50 atau RM100 sebab BANYAK KOT? Sekeping RM50 tu boleh buat duit makan aku seminggu tau haha

Tapi prinsip utamanya adalah, ikut kemampuan masing-masing nak simpan duit kertas warna apa dan berapa pun. Jangan pula terlalu fokus menabung sampai bebankan diri tak cukup makan minum. Kalau macam aku, duit pilihan aku untuk ditabungkan adalah RM5, sebab tu namanya TABUNG HIJAU

Kenapa bukan warna lain?

Sebab duit RM5 tu paling fleksibel dengan kemampuan aku masa tu. Dia tak sikit sangat, tak besar sangat. Kalau simpan sekeping, masih lebih banyak daripada simpan RM1. Dan kalau simpan 3-4 keping, takde pula nilainya terlalu banyak sampai cecah RM50 dan ganggu duit makan aku seminggu. It's just nice. Aku pun suka warna hijau maka seronok je tengok duit RM5 tu tebal dalam bekas yang aku simpan.

Oh ya walaupun aku panggil TABUNG HIJAU kan, tapi aku bukan simpan duit tu dalam tabung betul pun. Guna balang biskut raya ke apa entah yang aku guna buat letak duit masa projek meniaga dalam kelas tu. Tak terlintas pun nak beli tabung sebenar masa tu lol. Asal boleh ye. Asal boleh 😂

Hujung September 2017, hasil hampir setahun menabung guna elaun MARA di KPM 😊
Masa ni ada dalam anggaran hampir RM400 atau lebih, aku pun tak ingat. Tapi dapat la aku laburkan duit tu dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) melalui akaun Maybank. Alang-alang masa tu saham AHB baru ditawarkan kepada orang awam dan aku pun ada buat akaun Maybank awal tahun 2017 tu untuk tugasan Entrepreneurship. Timing yang cantik untuk rancang kewangan masa depan hehe

Lepas masuk UUM tahun 2018 tu pun aku masih teruskan juga aktiviti TABUNG HIJAU tu. Alhamdulillah nilai masa degree ni lebih banyak sampai berjaya cecah RM600 sebab degree kan dapat pinjaman PTPTN. Dalam aku beli benda lagha guna duit pinjaman tu, Alhamdulillah masih ada juga kesedaran menabung. Dan tabung aku kali ni best sikit sebab dah beli tabung proper dari kedai RM2 😂

Siap dengan syiling sekali aku bubuh dalam tabung sebab spare untuk dobi dan berat nak bawa dalam purse.
Walaupun guna tabung betul, tapi masih boleh kira duit sebab aku beli tabung yang boleh buka penutup haha. Soalnya kadang-kadang waktu takde cash, aku pinjam duit tabung dulu untuk beli makanan kalau malas nak pergi ATM. But of course aku akan ganti balik la lepas tu, siap terlebih-lebih lagi gantinya.

Hasil menabung di UUM, niat mula-mula tu nak tambah pelaburan asal dalam akaun AHB tapi masa tu unit saham dah habis. Pastu tengok orang kata kalau simpan RM1,300 dalam Tabung Haji (TH), boleh daftar nama untuk cabutan Haji. Jadi aku pergi la ke cawangan Tabung Haji di UTC Kota Bharu awal 2019 untuk buka akaun. Lepas simpan duit tu dalam TH, dapat la buku simpanan hitam-hijau TH tu.

Siap link-kan akaun TH dengan Bank Islam huhu
Bab link akaun ni kelakar sikit. Aku baca di website Tabung Haji, katanya boleh deposit duit dalam akaun TH melalui kaunter Bank Islam. Sebab tu aku bawa duit RM5 segepuk tu pergi ke cawangan Bank Islam di V-Mall UUM. Alih-alih staff kata kena link dulu akaun TH tu di ATM Bank Islam, pastu deposit duit dalam akaun Bank Islam, kemudian baru transfer ke dalam akaun TH. Dan setiap transaksi dicaj RM1...

Laaaaaa ingatkan free hahahahahahah.....

Masa sesi belajar online sebab COVID tahun 2020-2021 ni, aktiviti menabung aku masih berterusan. Puncanya mama la. Sebelum ni duk bebel kat aku sebab selalu shopping online. Kononnya pasni aku dah tak kenal kedai. Sekali PKP tak boleh keluar, dia pula suruh aku beli barang dan topap online pastu bayar balik dengan cash. Tapi aku pun bukan beli barang guna cash sebab tu aku sumbat je dalam tabung.

Maka upgrade sikit la tabung tahun 2020 ni sebab semua warna aku simpan haha
Selain duit PTPTN yang mama suruh bayar dulu barang dia pastu dia ganti balik, tabung tu juga simpan duit raya, duit random mama bagi, dan duit jual donat yang sekali-sekala aku buat. Pastu tabung ni aku upgrade juga tau beli yang jenis tak boleh buka langsung tu. Dan-dan masa aku kemas bilik April 2021 haritu, aku terlintas nak tahu ada berapa duit dalam tu so aku tebuk la. Lepas kira, ada lebih RM1,000 😂

Tak sangka ya. Selama ni aku duk rasa takde duit je sebab angka dalam akaun bank tu sikit bebenor. Almaklum la kuat shopping online. Beli barang di pasar raya pun selalu Pay Wave je. Sebab tu bila masuk online banking, rasa macam "wow I'm broke." Tak sedar pula yang sebenarnya aku takde la sesak sangat pun. Aku je yang lupa ada duit dalam tabung. Tak nampak depan mata kan. Mana aku ingat hahahah

Duit tabung tak terjangka tu aku asingkan RM300 untuk beli stok Pil Yasmin dan bagi sikit kat mama abah sebab tolong belikan since aku belum boleh rentas daerah masa tu sebab baru 1 dos vaksin. Bakinya tu aku beli lagi unit saham AHB. Alang-alang masa tu ada unit tambahan sedang ditawarkan dan Maybank pun sekarang dah bagi top-up saham AHB melalui Maybank2U. Melabur la kita jawabnya ✌🏻

Senang dah tak payah pergi bank atau ATM yeay~
Soooo...macam mana? Mudah kan nak menabung bila kita dah khaskan satu warna untuk disimpan ni. Boleh reset balik cita-cita menabung setiap kali nampak duit warna tu. Aku pun hasil duk simpan duit RM5 tu, sekarang asal dapat duit RM5 je, mesti sayang nak guna. Selalu simpan asing dalam dompet.

Lagipun menabung ikut warna ni fleksibel juga. Aku ada sebut kan yang boleh buat ikut kemampuan. Tak semestinya asal ada duit warna yang kita pilih tu, kita kena simpan semua. Boleh je letak target harian, mingguan, atau bulanan. Contohnya sekeping sehari ke, 2 keping seminggu ke, 5 keping sebulan ke, ikut kesesuaian bajet. Simpan sekeping sebulan pun boleh. Yang penting, ada usaha untuk menabung.
Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Semoga cara menabung ikut warna yang dikongsikan ni berguna kepada anda yang membaca. Mana tahu ada yang nak menyimpan tapi takut tak dapat istiqamah kan. Insya Allah cara ni boleh bantu hati kita lebih tekad nak sumbat duit dalam tabung hehe. Nak latih anak-anak simpan duit cara ni pun boleh.

Jumpa dalam entri seterusnya.

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.
SHARE 6 comments

Add your comment

  1. Bila pecahkan jangan lupa belanja uncle!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tabung dah pecah tp dah masuk dalam bank uncle!! 😂

      Delete
  2. Tahniah
    Sikit2 pun lama2 jadi bukit

    ReplyDelete
  3. Tahniah..mula menabung di usia muda. Ammi masa belajar dulu takda apa nak ditabungkan sbb duit belanja pun tak cukup.

    Sekarang ni baru menabung.. Ada tabung 1 & 5..nak menabung yg 10 mcm tiba2 je rasa berat hati haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya pun duit cukup2 makan dulu tp mujur diploma tu asrama percuma & kos makan minum rendah sbb luar bandar. dapat juga la selitkan sekeping dua rm5. kalau duduk bandar yg lebih mahal, tabung isi habuk je la huhu

      dan rm5 la limit paling tinggi pun utk saya. asal nak asingkan rm10 memang rasa sayaaaang je kan 😂

      Delete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS