Pengalaman aku sebagai peminjam PTPTN. | NaSa

Pengalaman aku sebagai peminjam PTPTN.

in , , by NaSa, September 13, 2021
Assalamualaikum

Minggu lepas dah tulis pasal PTPTN kan. Tapi tu cuma cara untuk semak bila pinjaman PTPTN akan masuk dalam akaun pelajar untuk semester baru. Kali ini, aku nak cerita pasal pengalaman sebagai peminjam PTPTN pula, dari mula mohon sampai dapat duit semua tu.

Sementelah aku ada kisah lain dengan PTPTN ni yang tak semua pelajar akan lalui, dan haritu pun ada bakal pelajar contact di Twitter minta pencerahan pasal PTPTN. Sebab katanya dia nak sambung belajar dan sedang survey cara pembiayaan pelajaran. Jadi boleh la aku kongsi info sikit.

Lagipun bimbang jugak sebab kadang-kadang ada soalan aneh macam di entri PTPTN lagi satu, "Duit PTPTN nanti masuk akaun kita ke?" Emm nama pun pinjaman PELAJARan, masuk akaun pelajar la 😅 

Tapi fikir balik, mungkin dia memang tak tahu dan tengah survey pasal PTPTN sebab tu tanya untuk kepastian. Mudah la dia nak buat persiapan apa yang patut kan. Jadi harapnya entri ni bakal bagi gambaran serba sedikit la pasal cara mohon PTPTN dan macam mana pinjaman diproses.

NOTA: Situasi masa aku mohon PTPTN tahun 2018 ni mungkin berbeza dengan situasi sekarang yang belajar atas talian. Ambil la maklumat ni sebagai perkongsian pengalaman sahaja. Terima kasih.
NOTA LAGI: Ni pengalaman aku mohon PTPTN kali pertama masa degree sahaja sebab diploma aku tak guna PTPTN. Kes melibatkan peminjam PTPTN masa diploma DAN degree adalah di luar ilmu aku huhu

Sebelum tu, sedikit pencerahan tentang apakah itu PTPTN dan bagaimana ia berfungsi?

PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional adalah badan yang bertanggungjawab memberi pinjaman kepada pelajar IPT untuk menampung kos pendidikan tinggi dan mengutip semula bayaran pinjaman daripada pelajar yang dah tamatkan pengajian (sama ada sempurna ataupun tidak). 

Caranya, PTPTN akan beri nilai pinjaman mengikut kelayakan pendapatan isirumah pelajar (B40 atau M40) serta kesesuaian dengan jurusan yang mereka ambil di IPT (asalkan pelajar memenuhi syarat).

PTPTN sediakan pinjaman untuk semua tahap pendidikan tinggi iaitu Diploma, Ijazah Sarjana Muda (Degree), Ijazah Sarjana (Master), Doktor Falsafah (PhD), dan Kursus Profesional. Tapi PTPTN untuk Master, PhD dan Kursus Profesional tu cuma boleh mohon kalau belajar di IPTA sahaja. IPTS tak boleh.

Fakta tentang wang pinjaman PTPTN:
🔸 Duit pinjaman PTPTN akan masuk setiap semester, bukan setiap bulan
🔸 Duit pinjaman PTPTN dimasukkan ke dalam akaun pelajar sendiri
🔸 Jumlah duit yang diberi tu dah termasuk yuran pelajaran dan elaun sara hidup setiap semester
🔸 In total, kita akan dapat duit PTPTN dua (2) kali setahun untuk 2 semester panjang
🔸 Ada IPT yang auto tolak yuran lepas PTPTN masuk, ada IPT boleh pilih bila nak bayar sendiri.
🔸 Duit PTPTN masuk sebelum atau selepas sem baru adalah bergantung kepada IPT masing-masing

CARA BUAT PERMOHONAN PINJAMAN PTPTN


Sebelum buat permohonan pinjaman PTPTN ni, benda pertama yang perlu dibuat adalah buka akaun simpanan mengikut bank panel IPT. Lain IPT, lain bank panel yang akan digunakan.

Macam aku di Universiti Utara Malaysia guna Bank Islam. Mujur aku memang dah ada akaun Bank Islam sejak sekolah so tak perlu buka akaun lain. Nombor akaun bank ni diperlukan masa buat permohonan sebab nanti duit PTPTN akan masuk dalam akaun ni. Senang IPT nak potong yuran kita hehe

(2022 ni UUM sekarang katanya dah tukar guna RHB Bank untuk urusan PTPTN so tengok la dia suruh buka akaun apa pasni)

Seterusnya, kita kena buka akaun simpanan SSPN. Kalau pelajar yang mak ayah dia dah bukakan akaun SSPN masa dia kecik, boleh je nak terus guna akaun tu. Macam aku ni masa masuk degree baru tahu apa itu SSPN sebab masa A-Level dulu orang sponsor, diploma di Kolej Profesional MARA pula yuran belajar dan penginapan percuma so tak pernah ambik tahu lol

Akaun SSPN ada 2 jenis: SSPN-i dan SSPN-i Plus. Apa beza dia, aku pun tak tahu. Aku main buka je akaun SSPN-i. Tapi boleh je buka mana-mana akaun SSPN antara 2 jenis ni asalkan nombor akaun tu ada 15 digit. Sebabnya hanya akaun SSPN yang ada 15 digit sahaja boleh mohon PTPTN.

(Sekarang dah tukar nama jadi SSPN Prime dan SSPN Plus. Fungsi sama je dengan akaun atas tu)

Anda bertuah sebab aku simpan lagi slip ni dari tahun 2018 jadi boleh la diselit di entri ni sebagai rujukan haha

Nak buka akaun SSPN, kena simpan minimum RM20 deposit. Baki minimum kena ada dalam akaun tu pun RM20. Tapi kalau nak deposit lebih pun takpe. Lagi best sebab SSPN selalu buat cabutan bertuah menang hadiah macam-macam. Cash beribu, kereta. Dah la boleh dapat dividen dan pelepasan cukai. Untung kalau buka SSPN awal-awal dan simpan lagi banyak duit dalam tu.

Akaun SSPN ni boleh buka di mana-mana kaunter cawangan PTPTN dan ejen sah SSPN macam bank-bank terpilih atau pejabat Pos Laju. Kalau nak buka di bank, tak ada akaun bank tu pun takpe. 
Contoh: Korang takde akaun Maybank, tapi boleh je buka akaun SSPN di Maybank. SSPN ni entiti asing daripada Maybank. Bank tolong kita buat akaun SSPN je. Takde kaitan dengan akaun Maybank pun.
Tapi sekarang lagi mudah sebab boleh buka akaun SSPN secara online di website SSPN kalau tak pergi bank atau kaunter PTPTN. Kalau macam aku dulu belum ada COVID kan. Jadi aku buka akaun SSPN di kaunter Bank Islam. Cuma perlu isi borang permohonan, isi slip deposit, bawa duit RM20, dan salinan IC.

Kalau buka akaun SSPN atas nama kita untuk kita sendiri, tulis "DIRI SENDIRI" di ruang penerima manfaat tu. Tapi kalau mak ayah nak buka atas nama mereka untuk kita pun boleh, sebab syarat penerima manfaat tu kena umur sehari hingga sebelum cecah umur 29 tahun.

SIMPAN NOMBOR AKAUN SSPN SEBAGAIMANA KORANG SIMPAN NOMBOR AKAUN BANK BIASA YA.

Lepas buka akaun SSPN, kena beli nombor PIN PTPTN di BSN pula. Tengok masa aku buka SSPN tu 11 pagi 6 Ogos 2018 kan, beli PIN PTPTN ni 11.37 pagi hari yang sama. Memang merata i pusing bandar 😂

Pun sama aku masih simpan slip ni dari 2018. Ada fungsi sikap hoarding aku ni lol

Pin ni kena beli di kaunter BSN pada harga RM5. Pastikan letak nombor IC yang betul tau. Slip ni kena simpan elok-elok sebab masa nak mohon di website PTPTN, dia akan minta 3 benda iaitu: 1) Nombor PTPTN, 2) Tarikh Bayaran, 3) Masa Bayaran. 3 benda tu dah underline siap-siap di slip tu. 

Kalau takut slip hilang, ambik la gambar untuk backup.

Pin PTPTN pun boleh beli online sekarang sebab operasi kaunter bank kan terhad sebab COVID. Tapi aku tak tahu cara dia jadi google la sendiri "cara beli pin PTPTN online." Nak beli pin ni di kaunter BSN awal-awal pun boleh, sebab nombor pin PTPTN ni sah selama 6 bulan dari tarikh pembelian. Cuma pastikan tarikh nak mohon PTPTN nanti masih dalam tempoh sahlaku pin ni.

Lepas tu boleh la buat permohonan di website PTPTN. Pastikan isi semua maklumat dalam borang dengan lengkap dan betul. Check la banyak kali sampai juling mata ASALKAN SEMUA BETUL. Tak mau la kena reject dan kena buat permohonan baru masa Kelompok 2 pulak sebab nanti lambat dapat duit. Jadi usahakan lulus permohonan PTPTN tu masa Kelompok 1 tau.

Apa beza kelompok 1 dan kelompok 2 PTPTN?


Bezanya, TARIKH KITA DAPAT DUIT 😂

Fungsi kelompok ni, pelajar boleh cuba mohon pinjaman PTPTN 2 kali setiap semester. Kalau gagal di Kelompok 1, boleh mohon lagi masa Kelompok 2 guna nombor PIN PTPTN baru. Dan ada juga pelajar yang memula masuk taknak PTPTN, tapi lepas tu tukar fikiran nak PTPTN pulak kan. IPT pun biasa ada pelajar second intake yang masuk lepas tarikh daftar sebenar dan dapat dokumen lambat.

Jadi bila ada Kelompok 2, pelajar yang gagal Kelompok 1 atau daftar PTPTN lambat tu tak perlu ikat perut nak tunggu mohon PTPTN sem depan sebab dah tak boleh mohon sem ni. Cuma untuk Kelompok 2 ni, kena sabar sikit je sebab duit mereka akan dapat 1-2 minggu lepas Kelompok 1.

Untuk sem-sem seterusnya, jenis kelompok tu bergantung kepada keputusan IPT. Kot la IPT korang lambat hantar nama pelajar yang aktif untuk sem depan, PTPTN pun tak sempat la proses nama korang untuk Kelompok 1 dan korang akan dapat duit masa Kelompok 2. Atau sem baru tu start lepas tarikh Kelompok 1 dan IPT rasa lagi baik kalau duit masuk time Kelompok 2, dapat la Kelompok 2.

Tengok la bila tarikh IPT bagi kat PTPTN untuk masukkan duit.

PTPTN bagi duit je tau. Yang set tarikh semua tu IPT so jangan marah PTPTN pulak kalau tarikh IPT awok tu lambat daripada pelajar IPT lain. Rujuk IPT sendiri untuk apa-apa maklumat.

Keputusan permohonan PTPTN akan keluar dalam 5 hari bekerja lepas tarikh permohonan untuk sesuatu kelompok tu tamat. Nak check bila tarikh tamat permohonan PTPTN untuk sesuatu kelompok tu mengikut kursus dan IPT korang, boleh ikuti langkah di entri ni.

Sesiapa yang permohonannya berjaya, PTPTN akan emelkan PDF surat tawaran pinjaman dan dokumen perjanjian kepada emel yang kita bagi masa buat permohonan. Pastikan guna emel yang aktif tau sebab setiap kali duit nak masuk, PTPTN akan hantar emel bagitau tarikh. Boleh excited awal sikit.

Senarai semak yang akan duduk di muka depan surat tawaran pinjaman. Kena susun semua dokumen ikut turutan dalam senarai semak ni.

Surat tawaran pinjaman. Nilai pinjaman berbeza mengikut aliran kursus Sains atau Sastera, jenis IPT sama ada awam atau swasta, dan tempoh pembelajaran. (Surat ni tulis kursus Pemasaran sebab ni surat Qila. Aku punya dah terdelete lol)

Surat akuan penerimaan. Ni pengakuan yang kita terima kadar upah (ujrah) yang dikenakan PTPTN untuk pinjaman kita.

Dokumen perjanjian. Banyak muka surat nak kena sain dalam ni pastu setiap muka surat kan kena buat 2 salinan jadi standby la tangan tu untuk feeling artis bagi autograf haha

Di kotak kecil bertulis "Setem Hasil RM10" tu, setem dia bukan macam setem untuk hantar surat ya. Setem hasil ni boleh beli di pejabat Pos Laju tapi aku pergi terus ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) je. Dan sebab dokumen perjanjian ada 2 salinan, kena la beli setem ni 2 keping.

Beli setem je. Aku memang beli awal-awal sebab takut lepas daftar tu tak tahu mana pejabat LHDN yang terdekat dengan UUM. Dan sebenarnya nak beli lebih pun takpe untuk backup sebab lepas daftar tu ada je orang yang lupa beli pastu akan tanya "siapa ada setem hasil lebih?" Boleh caj harga mahal sikit kat dia 😂

Tampalkan setem ni di dokumen perjanjian tu dan jangan usik atau conteng. Pastikan setem bersih je. Nanti pada hari penyerahan dokumen, pegawai PTPTN akan cop palang dengan tarikh kita hantar dokumen ni untuk batalkan setem hasil tu.

Lampiran A. Lepas pegawai PTPTN cop semua dokumen tu, satu salinan akan diberi kepada kita untuk simpanan rekod kita dan kita kena sain surat ni untuk pengakuan dah terima. Tapi tu la aku pun dah lupa letak kat mana salinan aku tu lepas balik dari ambil barang di UUM haritu 😅

Selain lampiran dokumen di atas, ada lagi 4 jenis surat kebenaran yang kita kena sain. Tapi malas aku nak screenshot semua haha. Kang lagi panjang berjela entri aku. Nanti korang dapat dokumen tawaran pinjaman tu, korang akan tahu sendiri la.

Dan kalau tengok senarai semak yang mula-mula sekali sebelum surat tawaran pinjaman tu, dia minta dokumen sokongan iaitu salinan surat tawaran kemasukan ke IPTSurat ni tak perlu disahkan tapi kena palangkan dengan 2 garis dan tulis "Untuk Kegunaan PTPTN". Nampak mudah tapi aku blur nak buat macam mana. Last sekali minta Sara hantarkan contoh dia buat kat surat dia haha

Macam gini je palang dia rupanya. Nak buat dari bucu atas ke bucu bawah kertas pun boleh.

Maklumat tambahan, semua dokumen perjanjian PTPTN kena print guna kertas A4 putih yang berat 80gsm sahaja. Katanya kertas 80gsm tu standard terbagus la sebab tak tebal sangat, tak nipis sangat.

Menyentuh pasal dokumen perjanjian ni juga, kena 
ada orang yang cop jadi saksi. Kalau aku dulu, minta cop penghulu je sebab duduk kampung kan. Kalau korang tinggal di kawasan tanpa penghulu tu, berikut senarai orang lain yang layak jadi saksi untuk dokumen perjanjian tu.

Senarai ni biasa IPT akan bagi dalam buku panduan mohon PTPTN. Tapi aku letak juga la kot-kot ada yang tak tahu contoh siapa orang yang boleh jadi saksi tu.

** SAKSI SAHAJA YA. PTPTN SEKARANG DAH TAK PAKAI PENJAMIN.


Kalau tak sempat dapatkan cop saksi sebelum daftar, biasanya lepas masuk IPT boleh minta pegawai atau pensyarah di IPT tu sain dan cop sebagai saksi. Asalkan gred jawatan mereka dalam Kumpulan A. 

Di UUM sebelum Covid dulu, setiap awal semester ada roadshow untuk bagi taklimat pasal cara isi dokumen PTPTN. Pastu ada sesi cop pengesahan dokumen oleh pegawai UUM yang layak. Kalau IPT lain aku tak tahu ada ke tidak benda tu. Sila la tanya IPT masing-masing cara untuk cop dokumen anda.

Contoh sesi tandatangan dan cop pengesahan oleh Pegawai Kumpulan A di UUM.

Prosedur asal masa belajar kelas fizikal dulu, lepas semua dokumen PTPTN dah lengkap diisi, nanti ada satu hari yang pegawai PTPTN datang ke kampus beramai-ramai untuk ambil dokumen kita. Kalau prosedur serahan dokumen PTPTN masa belajar online tu aku tak pasti macam mana. 

Tapi yang pasti, lepas hantar dokumen, kita duduk dan tunggu je la duit tu masuk. Kadang-kadang, duit tu masuk tanpa amaran gitu. Tapi macam aku cakap kat atas, biasanya PTPTN hantar emel untuk bagitahu bila duit tu akan masuk dalam akaun.

Yes memang suka suka sukacitanya bila dapat emel macam ni daripada PTPTN 😂

Sayangnya lumrah sebagai peminjam PTPTN ni, rasa kaya tu sekejap je sebab minit yang sama duit tu masuk, yuran IPT akan terus dipotong. Elok-elok hati kembang berbunga, terus layu tengok baki akaun.

Macam yuran course aku (International Business Management) di UUM adalah RM1,349. Pada waktu duit PTPTN tu masuk akaun, waktu tu jugak nilai yuran ditolak dari akaun aku. Biasanya yuran tu bawah reference "UNIVERSITY FEE" atau seangkatan dengannya.

Tapi ni aku cakap untuk UUM je la. IPT lain aku tak pasti sama ada terus potong jugak atau macam mana.

Tengok "University Fees" tu.
Dari PTPTN dia datang, kepada UUM dia kembali 😂

Waktu kelas online di era Covid ni baru merasa yuran murah sikit sebab belajar dari rumah so tak perlu bayar yuran asrama RM470+ tu.

Nilai yuran berbeza mengikut IPT. Kalau macam UiTM tu, murah sikit kan dalam 800+? UUM ni kuss semangat juga sebab course aku yang sastera pun RM1,300+. Hampir separuh duit PTPTN aku lol

And yes RM3,090 yang aku dapat tu memang pinjaman untuk satu semester. Baki lepas tolak yuran UUM, itulah duit untuk makan minum dan keperluan lain. Cukup atau tidak untuk satu sem? Terpulang kepada individu. Aku pun kadang-kadang kena minta kaklong topap jugak untuk duit makan.

NOTA PENTING: Oleh sebab kita hantar dokumen PTPTN ni lepas daftar masuk ke IPT, duit PTPTN kali pertama akan dapat lambat. Dalam 2-3 minggu gitu kot. Jadi lepas daftar, standby la duit sendiri dulu untuk makan minum dan keperluan asrama. Tapi ikut IPT juga la cepat atau lambat dapat duit tu.

WANG PENDAHULUAN PINJAMAN (WPP) PTPTN


Ni applicable masa isi borang permohonan UPU sahaja. Kalau dah hantar, tak boleh mohon WPP dah.

Dalam sistem UPU, di bahagian "Lain-lain Maklumat Tambahan" sebelum hantar permohonan tu ada pilihan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN. Bagi pelajar B40 yang perlukan duit untuk sediakan keperluan belajar, boleh pilih SETUJU untuk dapat duit PTPTN advanced RM1,500.

Sebab mungkin ada pelajar yang tak cukup duit untuk bayar yuran daftar tu kan. Nak beli barang-barang asrama lagi. Dah la yuran daftar sem pertama tu biasanya agak mahal sebab termasuk kos orientasi.

Tu soalan 33 yang highlight bengkok tu haha

Kalau pelajar atau penjaga mereka terima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR/BKM/wtv), mereka boleh tandakan YA di soalan tu. Nanti dapat wang pendahuluan RM1,500 sebelum tarikh daftar di IPT.

Cuma bila akan dapat, aku tak tahu sebab aku tak ambik pun duit pendahuluan tu. Aku bagitau ni sebagai option untuk mereka yang memerlukan je.

Tapi kalau ambik WPP ni, untuk 3 semester pertama tu kena rancang kewangan dengan sangat-sangat teliti sebab PTPTN akan potong pinjaman korang sebanyak RM500 setiap sem untuk ganti balik wang pendahuluan tu. RM500 x 3 semester jadi la RM1,500 yang korang dapat sebelum daftar tu kan. 

Contohnya korang patut dapat RM3,000 setiap sem, tapi PTPTN bagi RM2,500 je. Tolak yuran, baki elaun pun jadi makin sikit. Maka kena la susun bajet elok-elok agar baki duit PTPTN tu cukup untuk survive.

Paling utama, kekalkan GPA 2.00 ke atas setiap sem untuk elakkan duit PTPTN ditahan pada sem akan datang. Kalau tidak, GGWP bayar yuran sendiri dan risiko tak boleh jawab exam sebab ada hutang.

Dengan itu, selesai prosedur pinjaman PTPTN untuk fenomena biasa sebagai pelajar yang mohon PTPTN dan sambung belajar di IPT secara normal. Seterusnya, kita beralih kepada situasi tambahan lain yang melibatkan PTPTN ni daripada pengalaman aku sendiri.

KESAN TRANSFER KREDIT DIPLOMA KEPADA PINJAMAN PTPTN DEGREE


Aku kan masuk UUM lepas tamatkan Diploma in Business Studies di Kolej Profesional MARA Ayer Molek. Degree aku dalam International Business Management pula ada beberapa subjek yang aku dah belajar masa diploma. Jadi boleh la aku transfer kredit sebab tak nak belajar benda sama.

(BACA CARA TRANSFER KREDIT DIPLOMA DI UUM DI SINI)

Berjaya transfer, 13 subjek.
Yang berkaitan dengan degree aku, 8 subjek (dah jimat satu semester).

Selain transfer kredit, aku pun biasa ambik 6-7 subjek setiap sem. Hasilnya, makin cepat la aku habis belajar sebab overall aku jimat 2 semester (tempoh asal=8 semester). Aku ada tanya pegawai kewangan UUM, apa jadi kat pinjaman PTPTN kalau habis belajar awal kan? Katanya ada 2 kemungkinan.
  1. Kalau PTPTN dapat awal surat pengesahan kita tamat belajar (sebelum tarikh duit diproses), duit tak akan masuk dalam akaun untuk semester yang jimat tu dan kurang la jumlah hutang PTPTN. Katakan kita jimat 2 sem dan satu sem dapat RM3,000+, in total jimat ~RM6,000+.
  2. Tapi kalau PTPTN dapat lambat surat pengesahan tamat belajar (lepas tarikh duit diproses), duit tetap masuk dalam akaun kita. Tapi sebab kita dah tak bayar yuran, boleh simpan duit tu untuk bayar balik pinjaman lepas tu. Dengan syarat tak joli duit tu untuk benda lain la haha
Kalau ada orang tanya "boleh ke transfer kredit tapi tak nak habis belajar cepat?" Jawapan memang boleh. Takde masalah pun. Cuma bagi aku kalau pelajar tu pinjam PTPTN dan ada peluang (serta mampu) untuk tamat belajar awal, elok habiskan awal. Nanti boleh kurangkan hutang.

KESAN TANGGUH SEMESTER KEPADA PINJAMAN PTPTN


Ni yang aku kata aku tangguh belajar satu sem masa sem 3 haritu. Takde rezeki la masa aku tangguh tu lepas duit PTPTN dah masuk akaun. Timing tak cantik betul. Kesian aku hilang gitu je yuran RM1,300. Pastu minta refund dapat RM570 je. Kurang 50% daripada yang aku bayar 🤧

Bila kita tangguh pengajian ni, pun sama ada juga 2 situasi.
  1. Kalau tangguh sebelum IPT hantar nama pelajar aktif kepada PTPTN, duit tak masuk dan tiada potongan yuran akan dilakukan. Lepas masuk belajar semula, duit PTPTN masuk macam biasa.
  2. Kalau tangguh selepas IPT hantar nama pelajar kepada PTPTN, duit akan masuk dan yuran dipotong macam biasa bagi mana-mana IPT yang auto potong yuran tu. 
Kalau duit yuran kena potong tu, pelajar kena mohon sendiri refund daripada IPT tapi nilai refund tu nanti sikit je la. Dan lepas masuk belajar semula, duit PTPTN untuk sem baru tu akan ditunda sebab kita kan dah dapat duit masa sem yang kita tangguh tu. Kena la guna baki duit yang ada tu je.

Penjelasan daripada akaun Twitter rasmi PTPTN

Soalan aku: "kalau duit dah masuk tapi saya tangguh belajar, duit tu PTPTN ambik balik ke?" haha 

Mana tau dia suruh bank tarik balik duit tu ke kan. Tapi memang tak diambil semula pun. Ada je dalam akaun bank tu. Kena tahan nafsu sendiri la jangan duk shopping merata masa duduk rumah tu. Kuat ye dugaan tak nak terpengaruh dengan duit banyak ni. Dah la aku ni kaki shopping online haha

Maka kepada anda yang ada rancangan nak tangguh belajar (terutama di musim COVID ni yang stres nak mampos belajar online), tangguh SEBELUM IPT hantar status pengajian pelajar kepada PTPTN ya. 

Boleh semak di website PTPTN macam yang aku ajar kat sini untuk semak tarikh penting berkaitan PTPTN.

Dalam table tu ada kotak yang tulis "PTPTN terima status pengajian pelajar daripada IPT" kan, tu la tarikh PTPTN akan terima data sama ada pelajar ni teruskan belajar, tangguh, atau berhenti. Kalau kita mohon tangguh sebelum tarikh kat situ, nanti status kita dalam data IPT jadi "tangguh". 

Bila PTPTN tahu awal yang kita tangguh, nama kita pun dikeluarkan awal dari senarai yang dapat duit. Jimat. Tak payah susah-susah mohon refund daripada IPT. Belajar la daripada pengalaman aku tau 🤧

_________

Dannn tu je kot kisah aku jadi peminjam PTPTN ni. Untuk cara bayaran balik pinjaman, belum boleh kongsi sebab aku baru tengah jalani praktikum. Belum habis belajar so belum ada pengalaman la pasal cara nak bayar pinjaman PTPTN. Insya Allah kalau ada pengalaman tu lepas ni, aku update lagi di blog.

Cuma aku harap sangat aku tak perlu bayar pun pinjaman PTPTN tu lepas tamat belajar. Sebab PTPTN ada kelonggaran untuk pengecualian bayaran balik PTPTN bagi pelajar yang memenuhi syarat. Maksudnya pinjaman PTPTN tu nanti diubah kepada biasiswa dan peminjam tak perlu la bayar.

Antara syarat untuk pengecualian PTPTN: Belajar Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa, grad dengan Ijazah Kelas Pertama dalam tempoh perjanjian dengan PTPTN, dan pelajar dari keluarga B40 dan M40. 

Aku memang hampir memenuhi semua syarat yang ditetapkan PTPTN tu. Sebab tu setiap semester aku usaha sangat-sangat untuk dapatkan anugerah dekan dan kekalkan CGPA bertaraf kelas pertama. Dan Alhamdulillah sepanjang 5 semester belajar di UUM ni, aku masih kekalkan momentum GPA 3.80 ke atas. Gred paling rendah aku pernah dapat cuma B+ dan setakat ni cuma ada 2 subjek dapat gred tu.

CGPA aku pun naik turun naik turun antara 3.93 dan 3,92 haha
(Result sem 3 takde sebab sem tu yang tangguh tu)

Sekarang tengah tunggu habis praktikal la. Harapnya aku boleh jalankan kerja dengan selamat dan siapkan report praktikal tu nanti dengan sempurna supaya GPA untuk semester terakhir aku di UUM ni pun maintain tinggi. Mana tahu dapat merasa 4.00 di UUM ni kan Amin Amin ya Rabbal 'Alaminnnn....

Akhir kata, sedikit pesanan untuk adik-adik yang berbelah bahagi nak ambil PTPTN tu.


Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan pun kalau ambil PTPTN untuk sambung belajar. Aku dulu pun bila dengar "belajar guna PTPTN" ni macam kurang berminat sebab terikat mentaliti "nanti susah sebab HUTANG". Even sejak sekolah pun ada cikgu duk takutkan "ambik PTPTN nanti nama kena blacklist."

Bunyi macam seram sangat je PTPTN tu. Sebab tu seboleh mungkin aku mohon biasiswa sebab nak belajar free kononnya. Tapi tu la kalau dah takde rezeki, kena ambik pinjaman jugak. Dan PTPTN ni tak la teruk sangat pun. Yang blacklist nama tu, kalau sengaja tak nak bayar balik memang la kena denda.

Ada orang yang situasi sama macam aku (family tak mampu tanggung kos belajar), tapi dia rela kerja dan buat bisnes untuk kumpul duit sendiri daripada berhutang dengan PTPTN. Tapi mereka kena tanggung penat mental fizikal la kan kalau kerja sambil belajar gitu. Terutama yang course berat-berat.

Tapi aku sedar yang aku tak mampu bahagi kapasiti mental dan fizikal untuk dua benda macam tu. Jadi, ambik PTPTN dan kekalkan CGPA kelas pertama ni je cara aku boleh buat supaya boleh dapat pengecualian bayar PTPTN nanti. Ada la peluang win-win sebab aku boleh sambung degree tanpa hutang lepas grad, family aku tak perlu tanggung belanja aku masa belajar kan.

All in all, lain orang ada lain situasi dan kemampuan. Kalau korang kena ambik PTPTN, tak perlu rasa rendah diri atau dengki dengan orang yang mak ayah dia tanggung. Yang tak ambik PTPTN dan usaha kerja untuk tanggung kos belajar sendiri, pun respek kepada anda sebab tabah berdikari.

Kalau korang mak ayah tak bagi ambik PTPTN dan mereka tolong bayar A-Z, bersyukurlah dan jangan duk downgrade peminjam PTPTN "eh tak takut ke kena tanggung hutang lepas belajar?" Ada ye spesis ni. Jenis takde empati. Kalau kau jumpa, kau starlight je terus dahi dia.

Yang boleh aku kata, semua cara pembiayaan pun ada risiko tersendiri. Even bayar guna duit mak ayah sendiri pun risiko. Mana tau kang tetiba family hilang pendapatan tak cukup duit nak tanggung kos belajar anak-anak kan. Dan PTPTN ni nama pun PINJAMAN. Dah kau pinjam, lumrah la kena bayar balik.

Jenis manusia lupa daratan ni kalau orang pinjam duit dia tapi tak bayar, dia marah. Tapi dia pinjam PTPTN taknak bayar, takpe pula 🤷🏼‍♀️ Bersama la kita jauhi sikap tak bersyukur sebegitu ya, adik-adik. 

Selain itu, pesanan khidmat masyarakat untuk ibu bapa yang ada anak kecik, buka la akaun SSPN untuk mereka awal-awal. Atau kalau korang ada adik-adik sekolah dan mak ayah mampu untuk menabung konsisten, suruh la mereka buka akaun SSPN secepatnya. Duit raya anak-anak tu pun bubuh je dalam SSPN. Banyak manfaat SSPN wohh terutama kalau nak lanjutkan pelajaran ni.

Sekian saja perkongsian pasal pengalaman aku sebagai peminjam PTPTN setakat ni. Semoga entri ni membantu serba sedikit kepada mereka yang sedang survey PTPTN untuk biayai pelajaran di IPT nanti.

Walaupun pengalaman aku mohon PTPTN ni tahun 2018 sebelum COVID dan beza dengan sekarang yang belajar online, tapi langkah-langkah permohonan tu tetap sama je rasanya. Jadi harapnya korang nampak la gambaran apa yang terjadi sebelum, semasa, dan selepas buat permohonan PTPTN tu.

Jumpa lagi dalam entri seterusnya.

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.

SHARE 44 comments

Add your comment

  1. Terima kasih diatas penjelasan yg panjang lebar ini. Abe kie baca sbb anak sulung nk buat diploma uitm bln dpn.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama. Alhamdulillah berguna entri ni. Tahniah anak abe kie. Semoga maju jaya dalam pembelajaran nanti 😊

      Delete
  2. ptptn skrg ni masih menghantui akk..
    xabs byr lg.. uwaaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. uwaa saya doakan semoga dipermudahkan urusan akak utk konsisten bayar. Insya Allah nanti saat bebas merdeka tu tiba hehe

      Delete
    2. Terima kasih Nasa ..bg ilmu yg bermanfaat tentang ptptn ni.. habis akak baca. Heheheh..

      Delete
  3. So meant klau bru mhon and then dh lulus pstu dh hntr dokumen kat ptptn.. Pnjaman tu akan msuk lewat sikitlah kan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya betul. Mungkin masuk bulan kedua lepas dah daftar di IPT. Jadi kena standby duit sendiri dulu untuk makan minum sepanjang 2 bulan pertama tu.

      Delete
  4. Pengecualian bayaran balik tu termasuk kos upah pinjaman ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak pasti la sbb belum pernah mohon. Tapi rasanya memang dah kecualikan semua sekali.

      Delete
  5. cop saksi tu kena cop dkt setiap m/s lah ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bukan semua. Ada ruang yg dikhaskan utk cop saksi tu. Dalam 2-3 muka surat je.

      Delete
  6. assalam sis, saya nak tanya kalau kelas pertama atau ketiga ada pengurangan bayaran balik ke, kalau ada biasanya berapa banyak potonagn . Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam.

      Kelas pertama boleh mohon pengecualian bayaran pinjaman. Untuk kelas kedua dan seterusnya, tidak ada pengurangan kecuali kalau PTPTN umumkan diskaun. Macam yg mereka buat sekarang utk Belanjawan 2022, peminjam yang bayar balik 50% atau lebih baki pinjaman akan dapat diskaun 12%-15%.

      Delete
  7. salam kak nak tanya,kalau masa dftar ptptn tu tekan ya then dia kata permohonan belum lengkap kena mohon 30 hari sebelum tarikh masuk,maksudnya kene pilih tarikh yang nak dekat2 dengan semakan tarikh setiap uni tu ke

    ReplyDelete
    Replies
    1. wassalam. em first time pula dengar yg macam ni. masa mohon tu dah dapat surat tawaran ke?

      Delete
  8. Hi nak tanya...klau duit ptptn x de masuk pun dlm acc tapi yuran dah dipotong oleh pihak u..mcm mana nk buat ye...sbb duit mmg x masuk dlm acc...tgok ii dah ada pemotongan duit ptptn dekat ecom untuk yuran

    ReplyDelete
  9. untuk student yang nak sambung dalam university swasta and yuran almost 7k in one semester, PTPTN akan luluskan ke pinjaman? Wang yang dipinjamkan ada limitation ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak pasti pula. Boleh check nama kursus dan nama IPTS tu di website PTPTN untuk tengok berapa maksimum pinjaman dia bagi setiap sem. Link kat bawah

      https://www.ptptn.gov.my/msk/Utama

      Delete
  10. Hello, untuk permohonan ptptn (degree), mereka nak tengok keputusan pra-u ke? Atau hanya surat tawaran dari uni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cuma perlu surat tawaran sahaja. Keputusan akademik lain-lain tu tak perlu pun

      Delete
  11. pengecualian bayaran balik untuk first class tu untuk degree sahaja ke? atau diploma pun boleh?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Degree sahaja. Diploma tak panggil sijil kelas pertama. So cuma pinjaman masa degree je la akan dikecualikan. Yg masa diploma tetap kena bayar balik

      Delete
  12. hi awak, kalau intern 3 bulan je, ptptn still masuk ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya sbb intern pun masih jadi student kan. selagi status pelajar aktif, belum konvo dan masih dalam tempoh kontrak pinjaman, dapat je duit

      Delete
  13. Hai, blh ke klu nk mohon ptptn time sem 2 sbb sye masih kurang phm dgn cara dan proses permohonan ptptn ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh je mohon bila-bila sem pun asalkan baki tempoh pengajian masih ada at least setahun sebelum grad

      Delete
    2. Salam,nak tanya saya nak apply ptptn untuk master yuran per sem rm7k..soalan saya:duit yuran itu akan dibayar terus dr ptptn atau kite akan terima duit dalam akaun untuk dibayar sndiri?
      Kalau dibayar terus ke uni,boleh kite mohon untuk dapat kan duit ke akaun terus?

      Delete
    3. Wassalam. Master ada kena buka akaun bank ikut panel universiti jugak kan? Jadi duit PTPTN akan masuk dalam akaun bank panel tu. Cuma pembayaran yuran ditetapkan oleh IPT sama ada tolak terus masa PTPTN masuk atau kena bayar sendiri lepas dapat duit. Kalau IPTA, biasanya yuran ditolak terus.

      Delete
  14. Assalam. Nak tanya adakah jumlah pinjaman ptptn yang diluluskan nanti adalah exact amount yuran pengajian? Lampiran yang awak bagi ialah rm24720. Adakah rm24720 itu jumlah yuran pengajian UUM? Atau jumlah yuran UUM kurang dari rm24720. Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam..

      Jumlah dalam perjanjian yg RM24720 tu nilai pinjaman saya selama 8 semester, termasuk upah PTPTN dan takaful.

      Yuran pengajian UUM cuma RM1350 per semester, baki tu duit sara hidup. So 24k tu akan bahagi dua utk yuran dan elaun sepanjang 8 sem belajar.

      Jumlah yg PTPTN luluskan bergantung kpd status isirumah pelajar. Kalau keluarga terima BSHM, dapat pinjaman 100% full yuran+elaun. Kalau income family tinggi, akan dapat pinjaman 75% atau 50% so maybe cukup-cukup utk cover yuran pengajian sahaja.

      Delete
  15. Ok.terima kasih di atas penjelasan. Bagaimana jika pendapatan isi rumah average 6k ke 7k dan mendapat bantuan bsh/brim/bkm, adakah peluang untuk mendapat pinjaman 100%? Jika cikpuan tahu😁

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setakat ni limit pendapatan isirumah yg PTPTN bagi adalah RM8000.

      - Kalau terima bantuan kerajaan, auto terima 100%
      - Pendapatan bawah RM8000 dan tiada dalam data skim bantuan, terima 75%
      - Pendapatan lebih RM8000 dan tiada data bantuan, terima 50%

      Yang tiada data tu rasanya yang tak pernah mohon bantuan kerajaan tu kot.

      Delete
  16. Tq..seperti surat cikpuan jumlah pinjaman ptptn yg diluluskan rm24720 tu pihak ipt yang tentukan ke atau kita boleh pilih berapa amount yang kita hendak ? Seperti contoh jumlah yuran ialah 18k untuk 3 tahun. Jika saya jatuh dibawah kategori bantuan 100%, boleh tak saya nak buat pinjaman ptptn rm22000? Tertakluk kepada rm8000 setahun yg diperuntukan oleh ptptn. Atau adakah jumlah pinjaman yg dibenarkn nanti ditentukan oleh pihak ipt tersebut? Tq sekiranya cikpuan tahu

    ReplyDelete
    Replies
    1. jumlah pinjaman ditetapkan oleh PTPTN mengikut jenis program dan jenis IPT awam/swasta. boleh semak nama program & IPT sendiri di https://www.ptptn.gov.my/msk/Utama untuk tahu nilai pinjaman setahun yg PTPTN bagi dan darab dengan tempoh pengajian.

      Delete
  17. salam sis,nak tanya contoh kalau kos pembelajaran kita 39ribu,kalau kita buat pinjaman ptptn dia akan bagi mengikut jumlah tu jugak ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak pasti. PTPTN ada limit pinjaman bagi setiap jenis course, IPT, dan isirumah pelajar. Kena check sendiri di website PTPTN utk tahu berapa jumlah dia bagi sepanjang tempoh pengajian for your course

      Delete
  18. Salam sis nk tanya,klu dh dpt email harinikan 23/9 diorg ckp akan kreditkan pda 24/9.so maksudnya sy akan dpt duit tu pada 24/9 kan ke kena tunggu lg lepas 24/9 tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam. Dari pengalaman setakat ni, memang dapat pada tarikh yg dia bagitau dalam emel tu. By midnight masuk tarikh tu, dalam 12-1 pagi biasa dia auto masuk. Pagi waktu bekerja dah boleh check baki akaun bank

      Delete
  19. Thank you writer for the informative post.It helped me a lot for my ptptn application.
    Cume nak share,saya apply start semester ketiga jadi ptptn hanya apply 2 sem sahaja walaupon dalam jadual saya layak dapat 4 sem loan disebabkan kelewatan saya apply.
    Ambil pengajaran dr saya;jangan apply lewat.

    ReplyDelete
  20. Assalamualaikum nak tanya.kalau tak ambik ptptn untuk sem 1,boleh ke kalau nak ambik untuk sem 2 nanti?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam. Sila refer komen atas-atas. Asalkan baki semester ada lebih setahun, boleh je nak apply bila pun

      Delete
  21. Saya pernah berhenti belajar masa sem 1 diploma sebelum ni. Sempat buat pinjaman ptptn,tahun ni saya nak sambung diploma balik di university lain jadi hutang ptptn sebelum ni saya kena langsaikan dulu ke baru boleh sambung belajar?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh je mohon sambung belajar sebelum langsaikan hutang lama. Tapi kalau lepas masuk universiti baru dan nak mohon pinjaman lagi utk diploma baru tu, kena bayar hutang lama dulu baru boleh mohon PTPTN semula

      Delete
  22. hi nak tnya..kalau saya tengah intern masih dapat ke duit ptptn?

    ReplyDelete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS