Kisah Hidup di KPM Ayer Molek (2): ASRAMA | NaSa
Assalamualaikum

Kalau haritu dah cerita pasal program orientasi iaitu MISRA di KPM Ayer Molek (Aymo), kali ni kita cerita pasal asrama di sana pula. Tapi khusus untuk asrama perempuan je la ya sebab aku tak pernah jejak pun asrama lelaki. Biasa lalu je depan tu sebab nak pergi ke surau ✌🏻

Blok asrama di KPM Ayer Molek ni ada empat. 3 daripadanya, blok Tun Ali, Tun Perak dan Tun Mutahir untuk pelajar lelaki. Manakala pelajar perempuan pula semua ditempatkan di blok Tun Teja. Tapi jarak dua kawasan ni seberang jalan je so tak jauh pun.
Laman tengah blok Tun Teja.
Takde gambar bangunan dari luar sebab depan blok Tun Teja ni adalah kafe. No space sis nak berdiri ambil gambar. Jadi sis letak gambar laman ni je sebab aku suka tempat ni. Tak tau la sekarang rupa laman ni masih kekal atau dah dinaiktaraf tapi yang pasti, laman ni popular sebagai spot untuk ambil gambar OOTD. Asal lighting cantik atau ada special event, memang ramai gegadis buat "photoshoot" di sini 😉

Blok Tun Teja ni ada 4 aras dan dibina dalam bentuk 4 segi yang ada ruang lapang di tengah-tengah. Panggilan setiap aras ni start 0-3, so nombor bilik tu jadi 001..., 101..., 201..., dan 301... Jumlah bilik setiap aras tu aku dah lupa padahal pernah je kira di peta setiap aras masa naik tangga sebab bosan 😂 Aras 2 dan 3 rasanya dalam ~50 kot? Aras 0 dan 1 kurang sikit sebab wing depan aras 0 tu ada sickbay, bilik TV dan pejabat asrama. Aras 1 pula ada ruang macam jambatan ke apa entah.

Masa aku masuk, penempatan pelajar ni macam ikut sistem senioriti gitu. Pelajar baru semua dapat aras paling atas. Aku pun terkena la dapat BILIK 344. Katanya lepas jadi senior baru boleh pindah aras bawah lepas pelajar sem akhir dah keluar dan pelajar sem 1 baru masuk. Tapi fake hope je la. Bilik aku tak merasa pun sebab pastu dah tukar peraturan kena duduk bilik sama sampai grad. Kami minta pindah bawah tak lulus jadi sepanjang 5 sem di Aymo tu memang kami duduk aras paling atas. Jenuh ye kami naik turun tangga hari-hari sebab mana ada lif. Junior baru rilek je dapat aras bawah em tak aci
Layout asas blok Tun Teja di KPM Ayer Molek.
Not applicable to aras 0.
Macam ni la gambaran susunan kemudahan di blok Tun Teja ni. Aku pun tak ingat bila aku lukis benda ni tapi rajin kan aku buat. Padahal website KPM Ayer Molek sendiri takde letak gambar. Bilik 344 yang dapat masa memula kami masuk tu di wing kanan tepi bilik iron dan tandas belakang. Pastu minta pindah aras bawah tak dapat. Sebaliknya staf suruh pindah ke bilik 302 di wing menghadap kafe, depan pantri dan tepi tandas depan yang ada mesin basuh. Jadi sama je aras paling atas nyeee 🙂

Macam mana rupa kemudahan di blok Tun Teja untuk pelajar perempuan KPM Ayer Molek?
Gambaran panorama penuh setiap bilik.
Katil tu cuma ada tilam kosong ya. Bantal bawa sendiri. Cadar suka hati la corak/warna apa.
Setiap katil ada label ABCD. Aku tak ingat katil mana huruf apa tapi tetapan katil untuk pelajar tu ada tulis lepas nombor bilik di kunci masing-masing. Contoh bilik 344, siapa dapat kunci 344 A, akan dapat katil A. Tapi tak semua la ikut sistem huruf tu sebab ada juga yang pakai konsep "siapa cepat, dia dapat". Bergantung budi bicara sesama ahli bilik la. Benda boleh bawa berbincang ye dok. Aku lupa juga kunci aku huruf apa tapi aku selalu dapat katil tepi dinding sebelah pintu bilik dan suis lampu.
Bahagian katil aku dalam bilik.
Yang berbunga atas katil tu adalah karpet yang beli sebelum orientasi tu hehe
Ni gambar masa di bilik 344. Pindah bilik 302 pun dapat katil tepi dinding camni cuma struktur je agak berbeza. Bilik 344 ni ada jarak antara katil dengan dinding dan baldi kena letak bawah meja sebab tak cukup ruang. Tapi bilik 302 tu katil rapat ke dinding so boleh la aku jarakkan meja dengan almari untuk letak baldi di tengah-tengah. Keluasan setiap bilik memang tak sama pun sebenarnya sebab bilik kawan-kawan lain aku perhati ada yang kecil sikit, ada yang lagi besar contohnya bilik di tengah-tengah wing.

One of the best things about our room is ruang tengah bilik tu LUAS ya. Di situ la kami selalu buat jamuan makan-makan, solat sama-sama, menelentang meniarap buat study group, bergosip, jadi kilang bungkus makanan untuk projek kelas, heck aku rasa nak buat marhaban pun muat hahahah. Waktu ada test dan musim final exam, biasa dah kami bergelimpangan dengan nota dan soalan past years di tengah tu. Dan kadang-kadang dimeriahkan dengan tetamu jemputan dari bilik dan kelas lain sebab nak belajar sesama.

Meja tu ada rak buku di atas, 2 laci bawah, dan whiteboard. Lampu meja je takde dan kena bawa sendiri (kalau suka study lewat malam). Bawah setiap meja tu juga ada outlet elektrik untuk pelajar jadi tak perlu la berebut dengan roommate. Cuma kureng sikit sebab kami tak boleh bawa extension. Dah kena bergilir nak caj handphone dan guna laptop. Kalau jenis berani, ada je yang bawa extension secara haram. Tapi pepandai la sorok masa spotcheck hehe. Aku dan roommates skema so kami tak bawa la 🤭

Menyentuh pasal roommates, ramai tanya sama ada roommates dah ditetapkan sebelum masuk ke atau random? Sebab ada je yang lucky dapat offer dengan member kan dan kalau boleh nak duduk sebilik.

Part tu aku tak tahu la. Masa aku masuk dulu, staf kolej tetapkan random je masa daftar. Memang dia main bagi je kunci bilik kat pelajar yang beratur tu ikut 4-4 orang. Katakan korang beratur dekat-dekat dengan kawan masa daftar tu dan nasib korang baik, mungkin la boleh dapat kunci bilik yang sama dengan dia. Tapi kalau susunan 4 orang masa dalam barisan tu semua tak kenal each other atau kolej dah tukar sistem dan tetapkan bilik pelajar sebelum masuk, tahniah la dapat kawan baru. Macam aku hahahah
Dari kiri: Aku, Ily, Zeera, dan Syera
On the way nak pergi MISRA.
Muka-muka ni la yang aku menghadap sepanjang 2 tahun setengah di Aymo ni dari mula duduk bilik 344 sampai pindah bilik 302. Masak dah dengan macam-macam karenah dan perangai memasing lol. Kami berempat semua sama course yakni DBS. Sebab bilik bagi random kan, course pun tak tetap la. Ikut sama ada 4 orang dalam barisan tu semua DIA, semua DBS, atau DBS+DIA. Kalau roommates campur course, luas sikit pengalaman hidup. Topik gosip pun lagi banyak. Tapi roommates sama course pun best lagi-lagi kalau semua kelas lain. Masa test/kuiz boleh tanya tips daripada siapa yang dah jawab dulu hehe
Dapat anugerah dekan pun sama-sama sebilik haaaaa meriah hahahah
Pastu sebab Aymo ni memang cuma ada 2 course untuk diploma kan, pastu letak satu-satu batch tu ikut aras/wing pula, pergi mana-mana tu memang tak lari daripada jumpa muka sama. Kalau mereka bukan jiran, mereka classmates. Atau lagi best, jiran DAN classmates, pastu sekepala. Haa kamceng le kiteee.
Bersama tetamu kehormat dari bilik sebelah, Rahmah, Atul, dan Zati.
Dua-dua bilik ada campuran 3 kelas: BCD.
Ni geng jiran sebelah, depan, selekoh, pastu semuanya classmates dalam kelas B hehe
Geng study, geng assignment, geng makan, geng bergosip, geng pergi surau, geng melepak, geng outing ke bandar naik bas Panorama, geng kumpul kupon cabutan bertuah masa program tapi haram tak pernah menang satu hadiah pun, geng bergaduh pastu berbaik balik, banyak benda la buat dengan mereka ni.

Masa berkenalan dengan gegadis ni ada kejutan budaya sikit sebab majoriti batchmates ni lepasan SPM 2014. Jadi ramai masuk masa umur fresh 18-19 tahun. Beza 2-3 tahun dengan aku sebab sis masa tu dah era "Forever 21". Tua oh. Untung ada sorang batchmate sebaya aku dan sorang lagi tua setahun jadi sis tak kesunyian huhu. Dan aku tak pentingkan gelaran pun so tak demand la suruh orang panggil aku "kakak". Yang rapat je bagi gelaran kat aku as Kak Long (Kawasan) tapi semua tetap guna "aku-kau" juga 😂

Sebab tu kalau ada orang tanya "Boleh ke masuk KPM kalau dah lebih umur 20?", Jawapannya BOLEH sebab aku adalah bukti. Had umur untuk masuk KPM memang antara 18-30 tahun pun.
Bilik iron a.k.a bilik syok sendiri sebab asal gosok baju mesti kemain lip sync menyanyi hehe
Dulu kami dilarang bawa iron sendiri sebab dah ada bilik iron untuk gosok baju. Setiap aras ada 2 bilik iron dan setiap bilik ada 4 iron. Jimat elektrik asrama kan berbanding bagi beratus-ratus pelajar bawa iron sendiri. Tapi berebut la nak gosok baju tu. Beratur berderet di luar bilik iron tu fenomena biasa. Geng bilik aku biasa gosok secara pukal stok baju kurung dan tudung untuk seminggu kelas. Pantang tengok bilik iron kosong, berjemaah kami usung baju dengan hanger dan bawa phone pasang lagu buat hiburan.

Aku mula-mula rajin gosok pakaian secara pukal tu. Tapi lepas Pengarah Aymo longgarkan peraturan tudung dan benarkan pelajar perempuan pakai shawl, aku dah jarang gosok pakaian sebab aku banyak pakai shawl dan baju kurung yang material dan corak jenis tak nampak kedut. Kecuali hari kena pakai baju korporat atau kalau rasa nak pakai tudung bawal, baru aku pergi gosok. Sangat pemalas ye aku 😂

Tapi katanya sekarang peraturan dah tukar dan boleh bawa iron sendiri tapi aku tak tau la satu bilik terhad berapa iron. Mungkin asrama dah fed up kot asyik nak kena tukar iron dan iron board tu. Masa zaman aku pun berapa kali iron board tu hangit sebab ada pelajar jenis tak letak iron atas tempat besi tu atau tegakkan iron masa nak pusingkan bahagian baju yang nak digosok. Dibiarkannya permukaan iron yang panas tu atas span iron board. Dah la ramai buat camtu. Sia-sia je terbakar huhu
Kami juga ada pantri~
Ruang paling best sebab siap ada Coway, water heater, dan microwave. Selesa tu feeling macam duduk rumah sendiri. Tak suka makanan sejuk? Sumbat je dalam microwave. Nak buat maggi? Boleh jerang air, ambil air panas coway, atau bubuh juga dalam microwave. Mudah sangat hidup. Toaster pun ada tapi aku tak pernah guna pun sebab tempat masukkan roti tu terbuka gitu je dan bagi aku kebersihannya agak mencurigakan. Kot ada haiwan pernah masuk dalam tu pun aku tak tahu so baik tak payah guna.

Masa memula masuk, lepak di pantri ni tak best sebab walaupun ada meja, tapi takde kipas. Panas nak duduk lama-lama dalam tu. Masuk sem 3 ke 4 baru asrama pasangkan kipas siling. Best weh bilik ruang kecik gini pasang kipas nombor 5 masa lepak makan nasi. Berangin je. Kena pula bilik 302 yang kami pindah masuk tu betul-betul depan pantri. Lagi best senang nak conquer pantri lebih awal daripada orang lain haha. Selalu la kami buat sesi mengeteh, maggi, lunch, hafal nota, bergosip etc kat pantri ni.

Cuma yang tak bestnya, air sejuk dalam Coway tu terhad dan pelajar pula ramai sangat. Biasa kalau air sejuk di pantri sendiri habis, dah kena mengembara pergi pantri aras lain curi air orang. Coway paling senang ada air adalah aras 0 sebab tak ada orang duduk pun bilik aras paling bawah so tak ramai yang guna Coway tu. Tapi depends kat diri sendiri je la antara rajin atau tidak nak turun naik 4 aras tu hehe
Tandas, bilik mandi, dan kawasan ampaian.
Tandas dan bilik mandi asrama pun selesa sebab luas dan ada makcik cleaner selalu bersihkan. Kawasan ampaian pun luas nak jemur baju. Lokasi tandas ni di LUAR BILIK. Letaknya di setiap penjuru aras so setiap aras ada 4 tandas. Saja aku nak highlight yang tandas tu di luar sebab ada je dapat DM tanya "tandas ada dalam setiap bilik ke?" Emm harapan je la, dik. Ni bukan asrama jenis apartment lol

Tengok sinki tempat basuh baju tu banyak paip kan. Tapi kalau malas basuh tangan, ada je mesin basuh di kawasan ampaian tu. Sekali guna, RM2 siap spin. Tapi tak semua tandas la ada mesin basuh sebab setiap aras ada 2 je tandas yang sediakan benda tu. Tu pun tengok nasib juga berfungsi ke tidak sebab ada waktu dia nak rosak, terpaksa la pergi cari mesin di aras lain atau sental basuh tangan. 

Aku dendam tau dengan mesin basuh tu sebab dah la memilih nak duit RM1 lawa je, pastu suka telan duit aku. Kena pula masa duit cukup makan dan takde duit lain, berasap sis. Geram nak gegar mesin tu haha. Pastu sebab bilik kami ni bilik terdekat dengan tandas tempat mesin basuh tu kan, pernah je orang ketuk pintu nak tukar duit RM1 sebab mesin tu reject duit dia. Sama macam pantri. Ada orang datang pinjam gunting sebab dia nak masak maggi tapi tak boleh buka plastik perencah. Rasa macam kedai koop dah 😂

Tapi kalau dedua malas guna mesin basuh asrama dan basuh tangan, boleh ambik khidmat dobi. Setiap sem bayar RM70 gitu kot? Nanti dapat beg dobi khas dan boleh hantar baju 2 kali seminggu untuk akak dobi basuhkan. Masa sem 1 aku ambil dobi ni sebab ada dalam list yuran. Masuk sem seterusnya baru tau dobi tu optional so aku basuh sendiri sebab nak jimat duit lol. Lagipun dobi tu ada limit berat setiap kali hantar dan aku pula jenis basuh pukal sekali harung. Terlebih berat kang malas ah kena caj extra.
Pemandangan dari tingkap bilik 302 yang menghadap kafe dan bangunan akademik.
Ada gambar ni je. Tu pun sebab aku pos di Instagram huhu
Best duduk bilik menghadap kafe ni sebab senang nak tahu kedai mana buka, kedai mana tutup. Biasanya kami tentukan melalui pintu belakang kedai tu dah buka ke belum. Tak pun tengok kereta tuan kedai ada dalam petak parkir ke tak. Mudah la plan nak beli apa, turun bila, pergi dengan siapa, bawa duit berapa.

Di kafe ni ada 8-10 kedai. Harga makanan murah sebab dah dipantau oleh KPM. Kedai kami yang paling favourite, Kafe Assadah (kami panggil kedai Kak Ya). Pergh nasi goreng RM1 dia heaven sebab murah tapi portion membukit. Jimat dan kenyang teruk. Weekend aku biasa beli nasi goreng 2 bungkus untuk breakfast dan lunch. Hari kelas, beli ikan keli sebab ikan+nasi baru RM3 dan ikan boleh potong 2 untuk lunch dan dinner. Nak jimat punya pasal especially kalau duit dah hujung nyawa tapi elaun belum masuk.
Mesej cinta Bank Rakyat yang paling dinantikan oleh pelajar KPM sebab ni tandanya dah dapat elaun!!
Asal sorang dapat SMS keramat ni, auto berderu-deru orang buat rombongan ke ATM cucuk duit. Waktu ni la baru boleh mewah sikit. Mampu la seminggu tu beli lauk ayam sambal atau ayam goreng famous Kak Ya makan dengan nasi panas. Cumanya kena standby air sejuk Coway siap-siap sebab sambal Kak Ya berapi. Roommates biasa beli teh ais ikat tepi abang Ajak je, pastu letak dalam mangkuk tadah ais cair.

Nasihat untuk pelajar dari negeri jauh-jauh, pastikan selalu ada stok makanan kering banyak-banyak just in case anda tak balik masa cuti dan kafe tutup. Sebab benda ni dah pernah jadi kat aku hahah. Masa Raya Cina 2016, cuti tu sederet dengan weekend jadi 4 hari (Sabtu-Selasa). Majoriti balik tapi aku stay asrama sebab tak mampu beli tiket bas (RM110+ pergi balik). Campur sewa kereta pergi stesen bas dan tambang Grab nak balik kolej, dah RM150+. Lebih separuh elaun kot. Nak minta duit dengan family, tak berbaloi juga untuk balik sebab masa banyak habis atas bas since Kelantan-Melaka jarak 12 jam (2 hala dah 24 jam).

Dah ramai sangat pelajar takde, kafe pun tutup la sebab tak untung dan pekerja dia pun nak cuti juga. Maka sepanjang cuti tu aku survive makan biskut cap pingpong sapu Nutella dan bubur segera je. Sis tak boleh makan maggi sebab nanti perut sebu. Hari last cuti baru kafe buka belah malam sebab pelajar dah start balik kolej. Pehh menggigil kaki aku masa beratur tu sebab lebih 3 hari akhirnya baru jumpa nasi 🙂

Sebab tu setiap kali nak balik kolej, memang aku shopping banyak di Tesco dan bawa stok makanan penuh bagasi. Orang menganjing "macam tak nak balik rumah" pun sis biarkan sebab memang aku tak mampu balik pun. Jangan bising unless kau nak bagi duit tiket dan Grab untuk aku balik makan di rumah hahahah
(Thinking back, boleh je pergi rumah abang aku sebab dia pun di Melaka tapi sis jenis tak nak susahkan orang maka susahkan diri sendiri je la huhu)
Nutella dan bubur nasi segera Knorr adalah WAJIB ADA!!!
My stress reliever, Teja.
Saja letak gambar dia sebab dalam banyak-banyak kucing di Aymo, ni kucing paling aku sayang. Manja, bersih, bijak. Boleh dibawa tidur sekali pastu Subuh dia akan mengiau tanda nak keluar haha. Aku random je bagi nama Teja sempena blok Tun Teja tapi melekat sampai orang dari bilik lain pun panggil dia Teja 😂 Hobi dia ni, pusing satu blok asrama. Kalah warden. Bilik mana yang pintu terbuka, mesti dia jemput diri dia masuk. Bilik kami pun dia suka singgah padahal aras paling atas kot. Rajin betul dia panjat tangga lol

Bila bercakap pasal asrama, antara soalan lain yang paling famous dan orang biasa tanya kat aku kan, "Kat KPM Ayer Molek ni telco mana yang line paling okey?"
Berdasarkan gambar ni, tak tahu la, dik hahahahah
Aku tak tahu sekarang liputan telco di sekitar kawasan Aymo dah improved ke belum. Tapi dulu aku guna Celcom dan UMobile. Yang Celcom tu line 3G tapi mostly 1-2 bar je dan ada waktu dia pangkah merah terus. Overall kalau pakai data Celcom, ada internet tapi slow. Kalau UMobile, memang out. Dia G memanjang tu sebab phone aku tak support 3G untuk 2nd sim. Tapi masalahnya tukar jadi 1st sim pun sama je slow haha. Kawan-kawan yang guna Maxis katanya okey tapi tak pasti la sejauh mana okey tu.

Sebab line slow tu kot waktu sem 1 kami wajib ambil pakej WiFi. RM70(?) untuk berapa GB entah. Dah nama pun wajib, nak tak nak kena la bayar. Tapi ramai tak puas hati sebab WiFi tu sama slow atau tak boleh connect. Aku nasib baik boleh connect dan laju. Siap habis kuota sebab banyak download movie 😂

Disebabkan banyak aduan, mereka dah tukar khidmat WiFi tu jadi optional. Siapa yang nak guna je beli kupon dengan pelajar yang kerja jadi ejen WiFi. Bayar RM10 dapat 2GB seminggu. Ada juga yang beli portable WiFi sendiri bawa ke kolej. Ikut kemampuan masing-masing la. Sis miskin so kalau data slow tak boleh buat hotspot laptop, pergi tumpang wifi library je. Kalau guna komputer library lagi laju internet tapi kena berebut la sebab ada 2 je PC kat situ. Makmal komputer pula buka masa kelas je huhu

Tapi ni masa aku belum tukar phone dan kad sim yang sesuai untuk 4G tau. Sekarang kan teknologi dah lebih canggih dan pasni pun dah nak lancarkan 5G. Ada kemungkinan la line di Aymo akan lebih laju di masa akan datang. Kalau nak tahu pasal line telco yang sesuai di KPM Ayer Molek tu, elok tanya senior yang masih belajar di sana. Maklumat aku dah agak lapuk sebab dari tahun 2015-2018.

Asrama ni wajib untuk semua pelajar masa sem 1 kalau tak salah. Masuk sem 2 ke atas (or maybe sem 3?), baru ada option menyewa di luar kampus. Biasanya yang tak nak terikat dengan peraturan akan pilih rumah sewa la sebab peraturan asrama agak ketat. Ada curfew, spotcheck, rollcall, solat jemaah, gotong-royong, kena join aktiviti itu ini kumpul merit kalau nak mohon asrama sem depan, keluar kolej wajib pakai baju kurung, etc. Heck nak ke ATM depan pagar kolej pun kena scan kad matrik sebelum keluar tau. Inside joke yang kami tinggal di sekolah berasrama bukannya kolej tu biasa hehe
Contoh aktiviti wajib, Sesi Kerohanian setiap pagi di surau sebelum pergi kelas.
Tapi ni gambar solat Dhuha masa waktu rehat aku rasa lol
Mesej "kehadiran diwajibkan" ni rutin biasa dah dalam hidup.
And yes that's me asking for kupon merit baru nak pergi hahahahah
Aku dan kawan-kawan memula membebel juga tapi standard la mulut je bising. Last sekali buat juga apa yang disuruh. Cuma kadang-kadang je rebel. Sampai sorok selipar dalam bilik sebab tak nak join program. Sekretariat kolej ketuk pintu pun buat pekak je. Pernah warden tutup suis elektrik utama di blok nak suruh pelajar turun dengar ceramah. Pun kami buat derk. Kipas tak hidup? Kami buka tingkap bagi angin masuk hahahah. Ala sekali-sekala. Waktu lain kami rajin je pergi kutip kupon tempek di buku merit tu 😂
Paling banyak kupon merit yang dikumpul, kupon surau hahahah
Dah macam panjang sangat pula entri ni. Kalau boleh nak panjangkan lagi sebab rasa macam semua gambar aku nak letak. Biar duduk dalam Google Archives so kalau laptop rosak dan gambar hilang lagi, boleh cari backup di situ haha. Tapi tu la nanti kesian pula orang nak skrol sampai habis kan (tu pun kalau ada orang baca). Maka sampai di sini saja la kisah pasal hidup kami di asrama KPM Ayer Molek ni.

Nak taip entri ni rasa sayu tau sebab sambil edit gambar, sambil teringat kat member. Sedih pula sebab dah tak boleh jumpa. Almaklumlah sekarang semua dah bertebaran di serata Malaysia untuk sambung belajar dan kerja. Tu pun aku dan geng rapat dah plan nak pergi pulau tahun lepas buat reunion. Konon masa masing-masing cuti sem pertengahan tahun 2020 tu sesuai la nak travel sama-sama. Tapi timing tak cantik sebab pastu corona makin teruk merebak. Terus terkubur hasratnya emmm

Tapi takpe la. Insya Allah pasni kalau COVID-19 ni hilang dan dah boleh rentas daerah macam biasa, boleh buat plan jumpa balik. Kali ni kita kumpul duit buat pasport pergi pulau oversea je la terus. Bali ke, Boracay ke, Hawaii ke hahahah berangan. Walaupun sekarang jarang-jarang contact sebab sis jenis tak mesej orang sangat, tapi harap semua dalam keadaan sihat dan baik-baik saja di samping keluarga terchenta. Terima kasih semua sebab dah ceriakan hari-hari saya di KPM Ayer Molek 😊

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.
SHARE 0 comments

Add your comment

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS