Keputusan semester 6 dah tiba!! | NaSa

Keputusan semester 6 dah tiba!!

in , , , by NaSa, August 23, 2021
Assalamualaikum

Berita besar~
BERITA BESAR!

Tahukah anda? 

Pada tarikh bersejarah 23 Ogos 2021 hari ini, UUM dah keluarkan keputusan peperiksaan akhir untuk semester A202 yang lepas. Memula ingatkan lambat lagi nak keluar tau sebab sem-sem lepas macam lambat. Alih-alih Jumaat lepas, tengok ada kawan dah pos di status Whatsapp pasal gambar hebahan tarikh keputusan peperiksaan yang HEA UUM pos di Facebook. Terus berdebar-debar sister jadinya. Sangat sesurpris ye pengumumannya.

Ada tiga tarikh ditetapkan untuk pengumuman keputusan tu tapi sebab sem lepas kan aku dah habis sem 6, jadi istimewa sikit la boleh terima emel keputusan tu pada hari pertama iaitu 23 Ogos. Kalau junior sem 1-4 kena tunggu lagi sehari 24 Ogos. Tabah la tanggung cuak ekstra ye adik-adik semua hehe.

Tapi walaupun dia kata 4 petang baru keputusan untuk pelajar sem 5 dan 6 dihantar kepada emel masing-masing, aku dapat emel tu awal sikit pukul 3.23 petang. Hasilnya, Alhamdulillah~~
Masih mengekalkan streak dekan untuk setiap sem.
Syukur sangat-sangat. Setelah beberapa bulan berhempas-pulas, berhari-hari bergelut dengan burnout sebab rasa malas teramat nak jadi rajin, berbatang-batang pen habis jawab kuiz dan test, berpuluh jurnal baca untuk buat report, akhirnya dapat la CGPA naik sikit 0.01 jadi 3.93 daripada 3.92 sem lepas. Semoga tercapai hasrat saya nak graduate kelas pertama dari UUM supaya tak payah bayar PTPTN :)

Sayang sikit nampaknya sem ni pun tak dapat juga 4.0 pertama. Memang setiap sem ada je subjek sangkut dapat A- atau B+ tau. Dengki betul dengan cita-cita sis 😂 Tapi untuk subjek Strategic Management ni aku memang dah redha pun sebab subjek ni yang paling stres. Kuiz ada 6, case study ada 3, setiap satu tu ada anak soalan minimum 5, semua kena tulis tangan minimum 100 perkataan dalam masa ditetapkan dan kena snap gambar upload di portal. Cramp tangan sis tau.

Tu yang aku habis 2 batang pen tu. Nak dijadikan cerita lagi, dan-dan masa tu kerajaan buat PKP tak bagi buka sektor selain keperluan asas tu. Tak pasal-pasal aku tak boleh beli pen di pasar raya sebab seksyen tu kena sita. PENYUDAHNYA AKU KENA ORDER DI SHOPEE!!!! 🤣 banyak betul cabaran COVID ni tau
Cantik timing nak habis kan hahaha
Memang kenangan luar biasa betul. Ye la bila lagi kau nak jawab kuiz tapi pergi pasar raya tak boleh beli pen sebab bahagian alat tulis kena sita? Hanya di musim PKP je benda ni mampu terjadi hahaha

Selain itu, satu lagi berita baik hari ini adalah aku dah mulakan latihan industri (LI). Walaupun awal sikit daripada tarikh yang UUM tetapkan dan cuma boleh dikira sebagai kerja part-time dulu, aku tak kisah sebab masa cuti ni aku memang agak bosan. Ye la dah 3 sem belajar dalam bilik je. Pastu cuti pun duduk di rumah. Gila tak bosan. Kalau sebelum COVID boleh juga aku ikut mama abah merayap ke Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Pengkalan Kubor, in fact boleh buat border pass naik feri pergi Thailand. Tapi dah PKP ni rentas daerah pun tak boleh, apatah lagi rentas sempadan negara. Mereput je la di rumah.

Jadi bila pemilik company tu tanya boleh masuk awal atau tidak, aku setuju je la. Sekurang-kurangnya ada juga benda yang nak dibuat. Terima kasih Puan Ema sebab sudi terima saya lepas interview haritu.
First meeting ✅
Syarikatnya bernama Hijab For Traveller. Saiz tak besar pun. Tahap SME start-up macam tu je. In fact Puan Ema sorang je yang kerja dalam tu urus semua benda. Azim tu pelajar praktikal pertama yang Puan Ema ambik sebelum aku dan Rezwan ni masuk. Lepas Azim habis LI dia pasni, dapat rasa ada banyak benda kami nak kena buat untuk ambil alih tanggungjawab beliau hehe. Semoga bertabah wahai diri sendiri 💪🏻

Syarikat ni lokasinya di Setapak, KL. Tapi Puan Ema tawarkan penempatan LI tu secara work from home (WFH). Alang-alang posisi yang ditawarkan di syarikat Puan Ema tu ada untuk jurusan Business Management, aku pula belajar jurusan International Business Management dan memang cari LI yang tak perlu ulang-alik ke pejabat, Alhamdulillah ada rezeki aku di sini. Walaupun kalau WFH nanti sama je aku tak keluar dari rumah, tapi ada juga kerja untuk dibuat yang melibatkan industri tu sendiri kan. 

Kalau ikutkan, aku nyaris putus asa tak nak mohon ke mana-mana syarikat dah sebab tarikh akhir kena upload surat tawaran di portal UUM tu 12 Ogos 2021. Aku hantar emel ke syarikat ni 5 Ogos 2021. Sistem UUM pula kena tunggu 14 hari baru boleh tukar pilihan syarikat kalau syarikat yang kita emel tu takde jawapan. Rasa macam tak cukup masa je nak tunggu. Rasa macam nak buat je projek alternatif UUM untuk pelajar yang tak dapat tempat LI tu walaupun lecturer aku ramai kata susah.

Jadi bila aku dapat tawaran pada hari sama lepas lalui satu phone interview dengan Puan Ema, memang syukur sangat. Selamat la daripada buat projek ala-ala FYP sebagai alternatif lengkapkan jam kredit untuk latihan industri tu. Sis dah jemu juga sebenarnya nak hadap jurnal ilmiah lagi. Nak juga rasa kerja ofis walaupun kali ni agak lain pelaksanaannya sebab kerja dalam bilik kan. Disiplin kena betul-betul kuat sebab katil asyik memanggil je hehe

Insya Allah akan kucuba untuk kerja dengan sebaiknya sebagai penamat untuk sesi belajar di UUM ni. Doakan daku agar urusan dipermudahkan ya. Stay safe semua ❤

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.

SHARE 5 comments

Add your comment

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS